Menteri Dalam Negeri, Angelino Alfano berkata, pihaknya akan menutup beberapa buah tempat rahsia yang tidak dikawal bagi memastikan aktiviti agama hanya dijalankan di kawasan yang dibenarkan sahaja.
“Di Itali terdapat empat buah masjid dan lebih 800 surau.
“Kami akan menutup tempat-tempat rahsia ini bukan bertujuan untuk menghalang aktiviti berkaitan agama tetapi hanya mahu memastikan setiap program dijalankan berada di bawah pengawalan,” jelasnya.
Alfano berkata demikian dalam satu mesyuarat yang dijalankan di bandar kecil Lecce untuk membincangkan tentang risiko pengganas dan pengaruh tempat ibadat orang Islam yang dikenali sebagai 'garaj Islam’.
Sesetengah masjid rahsia di negara ini diwujudkan selepas permohonan untuk membina masjid mengikut saluran yang betul ditentang oleh pihak berkuasa tempatan.
Dalam perkembangan lain, Alfano berkata, sehingga kini langkah-langkah pencegahan dan pengumpulan sumber risikan berkenaan kegiatan pengganas di Itali berjaya dilakukan dengan baik oleh pihak-pihak terbabit.
“Tiada satu tempat pun di dunia tidak diancam risiko, inilah hakikat yang perlu diterima bagaimana perkembangan aktiviti pengganas berlaku sejak dari tahun 2001 sehingga kini,” ujarnya lagi.
Amerika Syarikat (AS) sebelum ini pernah memberi amaran kepada kerajaan Itali bahawa negara itu berkemungkinan besar bakal menjadi sasaran pengganas pada masa hadapan. – AFP