Menurut portal Mail Online, jambatan kertas berwarna merah itu merupakan sebahagian hasil seni yang terletak di sepanjang anak sungai di Lembah Grisedale.
Penggiat alam sekitar, Steve Messam dari Teesdale, menghabiskan masa tiga tahun untuk membina jambatan unik tersebut yang dikendalikan oleh Taman Kebudayaan sebagai sebahagian daripada Program Kecantikan Tasik 2015.
Beliau berkata, struktur jambatan itu kukuh dan mampu menyokong berat pejalan kaki kerana dihasilkan daripada 4.5 tan (225 kilogram) helaian kertas yang sama seperti kekuatan kayu oak.
Jambatan kertas sepanjang lima meter itu mula dibuka kepada orang awam mulai Jumaat lalu.
Seorang pendaki gunung, Alan Hinkers dari Yorkshire Utara yang merupakan pejalan kaki pertama melalui jambatan unik itu berkata, dia sangat takut ketika menyeberanginya.
“Ketika melalui jambatan itu, saya merasa cemas memandangkan jambatan ini diperbuat daripada kertas dan tidak yakin dengan kekuatan jambatan tersebut,” ujarnya.
Katanya lagi, walaupun hujan lebat, tetapi jambatan kertas itu tidak menunjukkan tanda rosak dan masih kukuh.