EMILIE-Lea Hayward boleh dikatakan seorang kanak-kanak yang cerewet makan dan hanya menginginkan yogurt Petits Filous. Malah, dia boleh menghabiskan sehingga 30 botol yogurt sehari.

Setiap kali ibunya, Naomi, 32, ingin memberi makanan lain, dia akan menjerit dan mengamuk. Selain itu, dia juga tidak menyentuh coklat, aiskrim, atau gula-gula dan menolak perisa yogurt lain seperti strawberi dan raspberi.

“Dia pernah dibawa berjumpa pakar pediatrik dan nutrisi, namun tiada siapa yang dapat membantu dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Dia hanya bermain makanan lain dengan tangan dan akan menjadi histeria jika cuba diberi makan.

“Pelbagai usaha telah saya lakukan. Saya cub berinya makan dengan cara bercerita, berikan dorongan dan minta bantuan kanak-kanak lain. Tetapi tiada satu pun yang berhasil. Ia benar-benar membimbangkan jika dia tidak mendapat zat secukupnya,” katanya kepada Daily Mail.

Bagaimanapun, doktor di Hospital High Wycombe pernah memberitahu Naomi bahawa anaknya itu sihat sama seperti kanak-kanak lain seusianya.