Menurut laporan portal Mail Online, lelaki berkenaan, Jeff Corwin berjaya menewaskan ikan tersebut di Sungai Mae Klong di Thailand pada awal minggu ini selepas bertarung hampir dua jam untuk menaikkan haiwan gergasi itu.
Malah, ekoran saiz pari terbabit yang sangat besar, seramai enam orang lelaki terpaksa membantu Corwin mengangkat haiwan itu menaiki sebuah bot kecil.
Corwin yang juga merupakan selebriti program televisyen tentang alam semula jadi berkata, ikan pari itu mempunyai ukuran lebar 2.4 meter dan 4.2 meter panjang.
Jelasnya, aksi beliau memancing ikan pari gergasi itu akan disiarkan dalam rancangan Ocean Myste­ries with Jeff Corwin melalui rangkaian televisyen ABC di AS pada hujung tahun ini.
“Berdasarkan pakar ikan pari, Dr. Nantarika Chansue dan program National Geographic, Fishsiam, ikan tersebut merupakan yang terbesar pernah ditangkap menggunakan pancing.
“Pengalaman memancing ikan pari gergasi itu sangat menakjubkan dan mengambil masa hampir dua jam, selain dibantu secara bergilir-gilir oleh beberapa lelaki,” kata Corwin menerusi laman sosial Twitternya.
Rekod sebelum ini dicatatkan oleh pemancing Britain, Ian Welch yang berjaya memancing seekor ikan pari seberat 349 kilogram di sungai yang sama pada 2009.