Gua itu ditemukan pekerja penggali perigi milik penduduk bernama Sati, 40, ketika menggali sebuah perigi pada kedalaman tujuh meter sebelum menemukan sebuah lubang dengan saiz sebesar penumbuk orang dewasa.
Oleh kerana ingin tahu, para penggali terus menggali sehingga lubang itu semakin membesar, malah tuil yang digunakan mereka terjatuh ke bahagian dasar gua itu, lapor Kompas.com.
“Para pekerja penggali terus menggiatkan usaha menggali gua itu ke bahagian tepi sehingga menemukan lopak yang menjadi gua seperti sekarang ini,’’ kata Sati, Selasa lalu.
Sati menjelaskan, sebelum gua itu ditemukan, dia tidak pernah didatangi petanda yang pelik sebaliknya niatnya menggali perigi itu hanya untuk mendapatkan air.
Penemuan gua kemudiannya dimaklumkan kepada Ketua Kampung Balaban, Sukrianto kerana dibimbangi boleh membahayakan penduduk.
Untuk masuk ke gua dengan saiz dua meter itu, orang ramai perlu menggunakan tangga diperbuat daripada buluh.
“Di dalam gua itu, memang terdapat banyak batu-batu unik berbentuk tirus yang muncul dari bahagian bumbung gua.
“Batu seperti batu cincin itu pula menjatuhkan air hingga membuatkan keadaan di dalam gua itu sangat sejuk,’’ kata Sukrianto.
Berita penemuan gua itu kemudiannya tersebar melalui gambar dan video telefon pintar sekali gus mendorong penduduk luar datang ke daerah ini untuk melihat sendiri gua tersebut.
Walaupun pihak polis Tamberu memagar kawasan itu dengan pita polis, namun penduduk 
tidak mengendahkannya dan masuk ke gua tersebut.