Pages

Friday, March 13, 2015

19 hari, 57 tingkat

Changsha (China): Sebuah syarikat pembinaan di China, Broad Sustainable Building membina sebuah bangunan setinggi 57 tingkat dalam masa hanya 19 hari.
Bangunan Mini Sky City yang terletak di Changsha, ibu kota daerah Hunan itu dibina pada kadar tiga tingkat sehari.
Ia mempunyai mempunyai 800 unit pangsapuri dan ruangan pejabat yang boleh memuatkan seramai 4,000 orang.
Mini Sky City pada mulanya dirancang dibina setinggi 220 tingkat tetapi dikurangkan kerana bimbang ia terlalu dekat dengan lapangan terbang.
Pembinaan bangunan pasang siap yang mempunyai 19 atrium dengan ketinggian 10 meter itu juga adalah mesra alam.
Menurut pemaju, sebahagian besar bahagian bangunan itu dipasang di lokasi berasingan sebelum dibawa ke tapak pembinaan dan disusun di atas satu sama lain.
Kaedah itu berjaya mengurangkan bilangan perjalanan yang diperlukan untuk mengangkut bahan mentah.
Secara keseluruhan sebanyak 15,000 perjalanan menggunakan lori berjaya dikurangkan sekali gus mengurang pencemaran udara akibat habuk dan asap kenderaan.
Bangunan itu turut mengambil kira masalah pencemaran di China dengan menggunakan kaca empat kali ganda lebih tebal dan kawasan pembinaan yang ditutup rapi.
Broad Sustainable Building sebelum ini pernah membina bangunan setinggi 30 tingkat di sini dalam tempoh hanya 15 hari.
Kata syarikat itu, teknologi berkenaan adalah inovasi paling bermakna dalam sejarah manusia.
Walaupun pembinaan itu dianggap peka terhadap alam sekitar tetapi beberapa pengguna internet menyuarakan kebimbangan berhubung isu keselamatan bangunan.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 8:00 AM


BANGUNAN yang dibina dalam masa tidak sampai tiga minggu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/36542#sthash.gzXgvJxO.dpuf

No comments: