Aktiviti menangkap ikan itu ibarat ‘pesta’ buat penduduk yang tinggal berhampiran sungai tersebut selepas ratusan ikan timbul akibat mabuk.
Antara penduduk yang tidak melepaskan peluang menangkap ikan adalah Yunus, 25, Minal, 24, dan Irfan, 24.
Hanya berbekalkan jala, mereka dengan mudah menangkap beratus-ratus ekor ikan.
“Lumayan, buat makan. Percuma lagi. Buat keperluan harian,” kata Minal kepada news.detik.com.
Difahamkan, ikan-ikan itu mula timbul di Sungai Kalimas kira-kira pukul 6.00 pagi waktu tempatan dipercayai berpunca daripada sisa buangan tercemar dari kawasan kilang yang terdapat di sepanjang Surabaya dan Kali Brantas.
Pelbagai jenis ikan yang diperolehi tiga rakan itu antaranya ikan tawes, mujair, dan ikan emas.
Selain Yunus, Minal, dan Irfan, tiga kanak-kanak iaitu Ilham, 9, Samudra, 8, dan Sinchan, 10, juga tidak melepaskan peluang untuk menangkap ikan itu dari rumah mereka yang terletak di belakang Hotel Novotel Surabaya.
Menariknya, mereka tidak menggunakan sebarang peralatan, tetapi hanya menangkap ikan sambil berenang sebelum disimpan ke dalam beg plastik.
“Sambil mengisi masa cuti sekolah, amat seronok menangkap ikan apatah lagi hanya menggunakan tangan sahaja,’’ kata Ilham.