Pusat bagi Pencegahan dan Kawasan Penyakit (CDC) yang mengeluarkan draf garis panduan selepas membuat kajian selama tujuh tahun di Afrika berkaitan berkhatan, sekali gus bakal mengetepikan tanggapan sesetengah lelaki Amerika yang mendakwa amalan tersebut boleh menjejaskan kepuasan seks mereka.
Sumber Mail Online memetik CDC sebagai berkata, berkhatan boleh mengurangkan risiko lelaki mendapat penyakit bawaan seksual, barah zakar, jangkitan pada saluran kencing serta menghalang penyebaran virus AIDS.
“Manfaat berkhatan bagi lelaki menjadi semakin jelas sejak lebih 10 tahun lalu,’’ kata Dr. Aaron Tobian, seorang penyelidik dari Universiti John Hopkins yang terlibat dalam kajian di Afrika itu.
Tobian berkata, garis panduan itu disifatkan penting selepas kadar kelahiran bayi lelaki yang berkhatan sedang menunjukkan penurunan.
Menurut garis panduan itu, berkhatan lebih selamat bagi bayi lelaki yang baru lahir dan kanak-kanak, berbanding lelaki dewasa, dengan mengandaikan kadar komplikasi akan meningkat daripada 0.5 peratus bagi bayi sehingga sembilan peratus bagi kanak-kanak berusia setahun sehingga sembilan tahun.
Menurut CDC, terdapat bukti kuat menunjukkan bahawa risiko lelaki berkhatan untuk mendapat HIV daripada wanita yang dijangkiti penyakit itu adalah hanya pada kadar antara 50 dan 60 peratus.
Berkhatan juga mampu mengurangkan risiko jangkitan genital; HPV (virus Papilloma) kepada 30 peratus; jangkitan saluran kencing semasa peringkat awal dan barah zakar.
Bagaimanapun, kajian itu tidak menunjukkan berkhatan akan mengurangkan risiko lelaki yang menghidap HIV daripada menyebarkan virus itu kepada wanita termasuk pasangan gay.
Garis panduan itu yang akan dibahaskan bagi membolehkan orang ramai mengemukakan pendapat mereka dalam tempoh 40 hari dijangka mendapat tentangan daripada kumpulan antiberkhatan.