Laman web Oddity Central melaporkan, kumpulan ditubuhkan pada tahun 2004 yang dianggotai oleh Blake Harrison dan Mark Sloan itu memilih burung kakak tua yang dikenali sebagai Waldo untuk menjadi penyanyi utama atas sebab-sebab yang tidak dinyatakan.
Harrison berkata, Waldo merupakan satu-satunya penyanyi kumpulan Hatebeak dan haiwan itu hanya mengeluarkan bunyi bising seekor burung serta menyebut beberapa perkataan tertentu dalam setiap lagu yang dimainkan.
“Kami tidak melakukan persembahan secara langsung kerana perkara tersebut akan menyebabkan Waldo terseksa. Hatebeak merupakan satu projek muzik yang tidak mempunyai lirik dan muzik yang jelas,” ujar Harrison.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Rakaman Reptilian, ChrisX berkata, hasil penjualan album kumpulan tersebut begitu memberansangkan kerana ramai orang sanggup berbelanja sebanyak AS$5 (RM16.68) untuk menikmati keunikan muzik Hatebeak.
“Pada mulanya saya agak ragu dengan idea Hatebeak ketika mula-mula kumpulan tersebut ditubuhkan, namun kini mereka sudah berjaya dan menjadikan Waldo popular sama seperti bintang pop yang ada di luar sana,” jelas ChrisX.
Peminat fanatik Hatebeak, Chris Okon menyifatkan, hasil seni kumpulan berkenaan yang menggabungkan alunan muzik keras dan vokal menarik sebagai sesuatu yang sempurna.
Bagaimanapun, kumpulan berkenaan berpecah pada tahun 2009, namun sempat berkolaborasi bersama kumpulan Caninus, yang vokalis utamanya adalah seekor anjing.