Pages

Tuesday, September 30, 2014

Kanak-kanak tanpa muka


Yahya kini menerima harapan baharu untuk memiliki muka dan menjalani kehidupan secara normal. - AGENSI

RABAT 29 Sept. - Seorang kanak-kanak lelaki Maghribi yang dilahirkan tanpa muka, berpeluang untuk menjalani kehidupan secara normal apabila seorang pakar bedah Australia sedia membantunya.
Yahya El Jabaly berusia tiga tahun, dilahirkan tanpa mata, mempunyai lubang di bahagian tengah mukanya dan tiada rahang atas selepas berlaku komplikasi ketika dia masih dalam kandungan ibunya.
Portal berita Mail Online melaporkan, walaupun hidup serba kekurangan dan tidak berupaya bercakap, Yahya yang tinggal di sebuah kampung kecil jauh dari Casablanca, masih mampu meneruskan hidup dan membesar dengan gembira atas dorongan ibu dan bapanya.
Kisah kecacatan Yahya disebarkan melalui Facebook oleh kawan bapanya sebelum mendapat perhatian seorang bekas pesakit kanser payudara, Fatima Baraka yang dilahirkan berdekatan kampung kanak-kanak itu dan menetap di Melbourne.
Atas rasa simpati, Fatima secara sukarela mencari pakar bedah yang sanggup mengubah semula muka Yahya dan akhirnya dia bertemu dengan Dr. Tony Holmes yang pernah memisahkan pasangan kembar siam Bangladesh, Trishna dan Krishna.
Wanita berkenaan kemudiannya pergi ke rumah Yahya untuk bertemu keluarga kanak-kanak malang itu sebelum membawa mereka ke Australia bagi menjalani ujian imbasan otak sama ada pembedahan boleh mengubah hidup kanak-kanak tersebut.
Menurut Holmes, Yahya boleh meninggal dunia jika pembedahan tidak dilakukan dengan segera walaupun terdapat risiko yang tinggi.
Tambahnya, kanak-kanak itu akan dibedah pada Disember ini dan beliau akan membentuk semula tulang tengkorak selain memulihkan bahagian hidung Yahya.
"Yahya mungkin boleh bercakap jika pembedahan ini berjaya dan saya bukan menjalankan eksperimen ke atasnya, tetapi mahu melakukan yang terbaik bagi kanak-kanak ini," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140930/lu_05/Kanak-kanak-tanpa-muka#ixzz3Ek3dQ6OT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: