Pages

Monday, August 25, 2014

Yazidi ‘si penyembah kejahatan’


Kebanyakan mereka adalah penganut agama Yazidi dan dianggap satu daripada minoriti tertua wujud di Iraq.

Baru-baru ini, mereka dipaksa meninggalkan kediaman masing-masing dan berlindung di Gunung Sinjar di wilayah barat laut Iraq atau dibunuh oleh militan Daulah Islamiah (IS).
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaporkan, 40,000 orang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak berlindung di sembilan lokasi di kawasan pergunungan itu.

Pada masa sama, gambar mangsa kekejaman IS juga tersebar.

Dianggarkan sekurang-kurangnya 500 penganut Yazidi termasuk 40 kanak-kanak maut di tangan militan IS.
Foto
PELARIAN Yazidi menyediakan minuman pagi di kem perlindungan sementara mereka di Bajed Kadal di wilayah Dohuk, Iraq.
Siapakah penganut Yazidi sebenarnya? Di seluruh dunia dianggarkan ada 700,000 orang mengikut fahaman itu dengan kebanyakannya menetap di utara Iraq serta sekitar Gunung Sinjar.

Sering disalah faham, majoriti penganut Yazidi ialah daripada etnik Kurdis yang tetap mengamalkan kepercayaan mereka sejak beratus tahun lalu walaupun sering berdepan tekanan serta ancaman.
Agama purba itu khabarnya diasaskan seorang ilmuan zaman Umayyah dan pecahan daripada kepercayaan zaman Parsi, Kristian dan Islam.

Penganutnya mengamalkan beberapa unsur daripada agama Islam dan Kristian, manakala api pula dianggap sebagai manifestasi tuhan.

Walaupun mempercayai keesaan tuhan, penganut Yazidi turut mengakui kuasa tujuh ‘malaikat’ dengan satu daripadanya dikenali sebagai Melek Tawwus (Malaikat Merak).

Mengikut kepercayaan mereka, Melek Tawwus pernah melakukan dosa, tetapi dibenarkan tuhan kembali ke syurga.

Disebabkan pengabdian mereka kepada ‘malaikat’ itu, sesetengah pihak melihat penganut Yazidi sebagai penyembah kejahatan.

Ketika zaman pemerintahan Uthmaniyah pada abad ke-18 dan ke-19, penganut Yazidi dilaporkan pernah menghadapi pembunuhan beramai-ramai 72 kali.

Pada 2007 ratusan penganut Yazidi terbunuh dalam siri letupan bom di kawasan petempatan utama mereka di utara Iraq.

Pertubuhan Palang Merah Iraq berkata, hampir 800 orang terbunuh dalam siri serangan bom berkenaan.

Di mata al-Qaeda serta IS, penganut Yazidi mesti dibunuh kerana kekufuran mereka.

Seorang ahli parlimen di Iraq yang juga penganut Yazidi, Vian Dakhil, beberapa hari lalu menangis sambil merayu supaya komuniti antarabangsa menyelamatkan mereka. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/25

No comments: