Pages

Tuesday, August 26, 2014

Gempa bumi kuat landa California


DUA orang penduduk memerhati sebuah bangunan yang roboh akibat dilanda gempa bumi di bandar Napa, California, Amerika Syarikat, kelmarin. - AGENSI
NAPA, Amerika Syarikat 25 Ogos - Satu gempa bumi berukuran 6.0 pada skala Richter menggegarkan wilayah Lembah Napa di California, semalam, menyebabkan 133 orang cedera termasuk tiga orang cedera parah dan mengemparkan beribu-ribu penduduk lain.
Pihak berkuasa berkata, seorang kanak-kanak dilaporkan mengalami keadaan kritikal selepas dihempap runtuhan pendiang api.
Gabenor California, Jerry Brown mengisytiharkan darurat ekoran bencana yang berlaku pada pukul 3.20 pagi waktu tempatan, selain menyebabkan berlaku kebakaran, saluran air pecah, kebocoran gas dan jalan retak.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat berkata, gempa itu merupakan yang paling kuat sejak gempa berukuran 6,9 magnitud pada 1989 di Loma Prieta dengan gegaran paling kuat dikesan di kawasan pelabuhan San Francisco.
Ketika kejadian, kebanyakan penduduk di Napa dan kawasan sekitar terjaga daripada tidur dalam keadaan panik apabila rumah kediaman mereka bergegar.
Pejabat perbandaran Napa berkata, seramai tiga penduduk mengalami cedera parah termasuk seorang kanak-kanak yang terpaksa di terbangkan ke sebuah hospital untuk rawatan neurologi.
Katanya, Pusat Perubatan The Queen of the Valley merawat 125 pesakit yang mengalami cedera ringan, manakala lapan orang lagi ditempatkan di Hospital St Helena. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140826/lu_09/Gempa-bumi-kuat-landa-California#ixzz3BTP9L01h
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: