Pages

Tuesday, August 26, 2014

Kereta tempat paling berbahaya


KERUSI kereta kanak-kanak lebih kotor berbanding tandas kerana mempunyai dua kali ganda bakteria berbahaya termasuk E. coli dan Salmonella. - AGENSI
LONDON 25 Ogos - Kerusi kereta kanak-kanak dilaporkan lebih kotor berbanding tandas kerana mempunyai dua kali ganda bakteria berbahaya termasuk E. coli dan Salmonella.
Perkara itu didedahkan oleh saintis dari Universiti Birmingham yang menjalankan ujian ke atas kerusi keselamatan tersebut dan menemui secara purata 100 bakteria berbahaya dan kulat yang berada pada setiap sudut kerusi berkenaan.
Secara perbandingan, tandas didapati mengandungi 50 jenis kuman, kurang daripada jumlah bakteria yang ditemui pada kerusi kereta.
Kuman termasuk bakteria pada kerusi itu boleh mengakibatkan penyakit berbahaya kerana ia turut mengandungi bakteria E. coli dan Salmonella.
Tinjauan ke atas 2,000 pengguna Continental Tyres di Birmingham yang melakukan ujian ke atas 20 buah kereta dan kediaman sebagai perbandingan mendapati, kereta mengandungi bakteria berbahaya dan kuman berbanding di dalam rumah.
Kajian itu turut mendedahkan bahawa hampir separuh daripada pengguna kereta memandu di dalam kenderaan yang bersepah, dengan satu daripada 10 rakyat Britain pernah terlibat atau hampir terlibat dalam kemalangan kerana keadaan kereta mereka yang berselerak.
Pakar keselamatan Continental Tyres, Mark Griffiths berkata, ramai orang memandu kenderaan yang hampir menyerupai sebuah tapak pembuangan sampah tanpa menyedari ia mendatangkan bahaya kepada mereka.
Kajian itu mendapati, 60 peratus daripada pengguna kenderaan tidak sedar akan risiko kesihatan yang dialami mereka dan penumpang akibat kereta mereka yang terlalu kotor dengan kira-kira satu daripada lima pemilik kereta membersihkan bahagian dalaman kereta sekali dalam tempoh setahun.
Pensyarah di Institut Mikrobiologi dan Jangkitan Universiti Birmingham, Dr Anne-Marie Krachler berkata, kereta boleh menjadi tempat pembiakan beberapa spesies bakteria berbahaya.
"Kuman-kuman ini boleh merebak dengan mudah sekiranya kereta tidak dibersihkan secara kerap terutamanya sekiranya anda makan di dalam kereta,'' katanya kepada Mail Online. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140826/lu_13/Kereta-tempat-paling-berbahaya#ixzz3BTOzh7RG
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: