Pages

Sunday, June 16, 2013

Usia 11 tahun sudah jadi bapa


Wellington: Kontroversi melanda New Zealand semalam apabila seorang budak lelaki berusia 11 tahun menjadi bapa selepas mendapat anak melalui hubungan dengan seorang wanita berumur 36 tahun.

Perkara ini menimbulkan persoalan mengapa wanita berkenaan yang juga ibu rakan sekolahnya, tidak didakwa atas kesalahan rogol.

Berdasarkan laporan akhbar, bayi terbabit dijaga oleh badan kebajikan kerajaan kira-kira dua bulan lalu.

Pegawai kebajikan kerajaan mengesahkan, mereka menguruskan kes di sekolah budak lelaki terbabit dan ia sedang diteliti mahkamah tetapi enggan mengulas lanjut.

Akhbar berkenaan juga melaporkan bahawa bapa muda terbabit yang kini berusia 12 tahun juga berada di bawah penjagaan kerajaan.

Penderaan seksual

Kaunselor yang menghadapi isu penderaan seksual kanak-kanak berkata, kes terbabit menunjukkan kurangnya perhatian terhadap wanita sebagai pesalah, lapor New Zealand Herald yang menyiarkan berita terbabit.
Di bawah undang-undang New Zealand, jenayah rogol hanya terpakai kepada lelaki dan membawa hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun.

Bagi wanita yang memaksa seorang lelaki melakukan hubungan seksual dengannya berhadapan dengan tuduhan melakukan kesalahan seksual yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun.

Kes terbabit menyebabkan pihak berkuasa meneliti isu berkenaan mengikut undang-undang jenayah yang hanya menetapkan pihak yang bersalah merogol adalah lelaki.

Menteri Kehakiman, Judith Collins berkata beliau akan menyiasat laporan akhbar berkenaan.

“Kes ini membangkitkan satu perkara penting. Saya akan mendapatkan nasihat daripada pegawai mengenai sama ada satu perubahan undang-undang diperlukan,” kata Collins.

Wanita dan budak lelaki terbabit yang nama mereka tidak disiarkan tinggal di daerah North Island, Auckland.

Pengetua sekolah budak lelaki terbabit memberitahu New Zealand Herald bahawa beliau terkejut apabila budak itu memaklumkan kepadanya mengenai apa yang berlaku.

“Anda tidak akan berasa gembira dengan saya,” katanya ketika mengingati apa yang diperkatakan budak lelaki terbabit tahun lalu.

Katanya, budak lelaki terbabit mendedahkan dia menjalin hubungan seks dengan ibu seorang rakannya dan mahu berhenti melakukannya.

Pertubuhan ‘Male Survivors of Sexual Abuse’ berkata, jika kes terbabit dapat dibuktikan, wanita terbabit perlu didakwa. AFP

No comments: