Presiden Mesir mungkir janji
Mursi dikatakan menggunakan dasar luar untuk meraih populariti berbanding mengotakan janjinya kepada rakyat
KAHERAH - Mesir masih dilanda masalah gangguan bekalan air dan elektrik serta aktiviti jenayah dilaporkan masih berleluasa di negara itu.

Perkara tersebut disuarakan oleh beberapa pihak selepas mereka mendakwa Presiden Mohammmed Mursi masih belum menetapkan sebarang jalan penyelesaian untuk menangani  masalah sukar dikawal itu.

Ini kerana Mursi dikatakan lebih memberi perhatian kepada Ikhwanul Muslimin memandangkan pilihan raya baru Parlimen bakal diadakan pada awal tahun hadapan.

Beliau juga cuba untuk menonjolkan dirinya sebagai seorang pemimpin berkarisma di rantau Arab.      

Di bawah pakej janji Mursi, antara ikrar beliau adalah untuk memberi kebebasan bersuara, menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas dan membanteras kegiatan jenayah di negara tersebut.

Bagaimanapun dalam tempoh dua bulan pertama, beliau lebih memberi fokus kepada perkara lain berbanding pakej janjinya.

Keadaan itu telah mencetuskan persoalan berhubung keutamaan beliau kerana banyak pihak kini mula menuntut janji dengan mengharapkan keadaan di Mesir yang sebelum ini dikuasai rejim bekas Presiden Hosni Mubarak akan berubah di bawah tampuk pemerintahan Mursi. 

Walaupun pemimpin tersebut didakwa gagal menepati janjinya, namun beliau ada mengambil beberapa inisiatif untuk menangani masalah domestik setakat ini.

Penganalisis politik di Universiti Kaherah, Mustafa Kamel berkata, beliau menggunakan dasar luar untuk meraih populariti berbanding mengotakan janjinya kepada rakyat.

"Bagaimanapun beliau tidak menggunakan isu mengenai hak penduduk Palestin atau keadaan di Syria untuk meningkatkan popularitinya di mata dunia," katanya. 

Sementara itu, tindakan Mursi mengarahkan persaraan dua jeneral kanan Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF) yang memerintah Mesir selama 17 bulan selepas Mubarak digulingkan menerima pujian banyak pihak terutamanya pihak liberal dan berhaluan kiri di negara tersebut.

Mereka menyifatkan keputusan itu sebagai perubahan positif dalam proses peralihan kuasa di Mesir kerana ia tidak melibatkan pertumpahan darah.

Pelbagai perubahan yang dilakukan oleh Mursi termasuk membatalkan rombakan Perlembagaan dan melantik bekas hakim, Mahmoud Mekki sebagai timbalan presiden masih tidak dapat memuaskan hati penduduk Mesir.

Rakyat masih mengharapkan peningkatan dalam kehidupan seharian mereka kerana hampir keseluruhan kemudahan dan infrastruktur negara tersebut masih berada pada takuk lama.

"Masalah seperti bekalan elektrik terputus dan hak golongan miskin adalah antara perkara yang perlu diutamakan pada masa ini," kata aktivis terkenal, Gamal Eid.

Menurutnya, negara itu sering mengalami masalah bekalan kuasa sejak beberapa dekad lalu.

Penduduk kini semakin hilang  sabar kerana masalah tersebut masih gagal diselesaikan sehingga kini.

Difahamkan, Mursi mengambil jalan penyelesaian secara sambil lewa dengan hanya meminta penduduk untuk mencatu penggunaan elektrik.

Pada masa ini, kebanyakan penduduk menyatakan mereka masih berasa selamat untuk bergerak ke mana-mana walaupun kegiatan jenayah seperti rompakan bersenjata, penculikan, curi kereta dan kecurian dilaporkan masih terus berleluasa.

Selain masalah perkhidmatan dan keselamatan, kemerosotan ekonomi juga dikhuatiri akan memberi kesan kepada sektor pelancongan serta industri intensif buruh memandangkan nilai mata wang Mesir juga dilaporkan telah menyusut kepada lebih satu peratus sejak akhir Jun lalu.

Sementara itu, dalam ucapan pertama berkaitan dasar asing, kelmarin Mursi mempamerkan ketegasan beliau sebagai salah seorang pemimpin di Timur Tengah dengan menggesa Presiden Syria, Bashar al-Assad untuk berundur berikutan keadaan yang semakin meruncing di negara itu.

Beliau turut memberi amaran kepada Iran supaya tidak campur tangan dengan masalah di negara Arab yang sedang dilanda konflik.

Kedudukan Mursi sebagai pucuk pimpinan di Mesir telah memberi banyak kelebihan kepada Ikhwanul Muslimin kerana mereka kini memegang portfolio penting termasuk Kementerian Komunikasi dan Maklumat.

Tindakan beliau lebih memfokuskan barisan Kabinet berbanding menyelesaikan isu dan masalah rakyat telah menyebabkan banyak pihak kini mula menagih pakej janji yang didakwa masih gagal ditunaikan sehingga kini.