Doktor di Mesir adakan mogok
Doktor di Mesir mendakwa kemudahan hospital tidak mencukupi dan tidak dapat menampung jumlah pesakit. - Foto AP
KAHERAH - Sekumpulan doktor di Mesir mengadakan mogok sebagai membantah kemudahan  tidak mencukupi dan gaji yang rendah, menurut kesatuan pakar perubatan di negara itu, kelmarin.

Menurut kesatuan tersebut, doktor di negara itu hanya menerima gaji pokok kira-kira ASD$46 (RM137) sebulan dan kebanyakan daripada mereka terpaksa melakukan kerja sambilan bagi menambahkan pendapatan.

Salah seorang ahli kesatuan tersebut, Mona Mina berkata, mogok itu juga bertujuan untuk menuntut keadilan sosial dan perkhidmatan kesihatan lebih baik kerana keadaan infrastruktur hospital yang teruk menyebabkan ada pesakit yang terpaksa tidur di lantai.

"Mogok secara besar-besaran ini terpaksa dilancarkan selepas tuntutan kami berhubung penambahbaikan hospital kerajaan sejak lima tahun lalu gagal," katanya.

Kesatuan tersebut memaklumkan mogok itu disertai 70 peratus kaki tangan termasuk doktor di 520 hospital kerajaan menyertai mogok tersebut. -AP