Pages

Thursday, October 4, 2012

40 maut di bandar Syria

GAMBAR menunjukkan lokasi letupan tiga
bom kereta di Aleppo, Syria semalam.
ALEPPO, Syria - Tiga bom kereta menggegarkan bandar raya ini semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh manakala 90 lagi cedera dengan kebanyakan mereka ialah anggota tentera, kata Kumpulan Pemantau Syria Bagi Hak Asasi Manusia.
Kumpulan pemerhati berkenaan memberitahu, dua bom kereta itu meletup di sekitar Dataran Al-Jabiri berdekatan sebuah kelab dan hotel pegawai tentera di sini.
Menurutnya, bom ketiga pula meletup tidak lama kemudian di pintu masuk Bandar Lama dalam daerah Bab Jnein dekat sini.
"Saya mendengar dua letupan kuat seperti pintu neraka sedang dibuka," kata seorang lelaki berusia 30 tahun, Hassan yang bekerja di sebuah hotel berdekatan.
"Saya melihat asap tebal dan saya membantu seorang wanita di kaki lima berdekatan. Tangan dan kakinya terkehel," tambah lelaki itu.
Stesen televisyen rasmi Syria, Al-Ikhbariya melaporkan sekurang-kurangnya 31 terbunuh manakala puluhan yang lain cedera dalam 'tiga letupan pengganas' di bandar raya ini.
Pihak berkuasa Syria merujuk kepada pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria (FSA) sebagai pengganas.
Stesen televisyen itu turut menyiarkan kemusnahan besar di dataran berkenaan.
Rakaman tersebut menunjukkan sekurang-kurang dua bangunan runtuh sepenuhnya dengan mayat-mayat bergelimpangan di dalam timbunan runtuhan.
Bandar raya ini yang dihuni oleh 1.7 juta penduduk menjadi pusat pertempuran antara FSA dengan tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad sejak kebangkitan rakyat menentang pemimpin tersebut bermula pada Mac tahun lalu. - AFP

No comments: