Pages

Thursday, September 27, 2012

Petugas media Iran mati ditembak di Damsyik

DAMSYIK: Penembak curi di bandar raya ini menembak mati koresponden Press TV Iran.

Penyerang juga mencederakan ketua biro rangkaian itu ketika kedua-dua wartawan berkenaan membuat laporan dari kawasan letupan bom berhampiran ibu pejabat tentera Syria, semalam.
“Koresponden Press TV, Maya Nasser mati selepas terkena tembakan curi di Damsyik, ibu negara Syria,” lapor media berkenaan dalam berita pada laman webnya.

Hussein Mortada, warga Lubnan yang mengetuai biro Press TV dan sebuah lagi rangkaian media Iran, Al Alam, pula cedera selepas ditembak di belakang badannya oleh penembak curi, lapor kedua-dua rangkaian berkenaan.

Maya dan Hussein menjadi sasaran apabila mereka tiba di kawasan pengeboman berhampiran ibu pejabat tentera Syria di Dataran Ummayad, daerah yang dikawal rapi oleh tentera pro-Presiden Bashar al-Assad, di Damsyik.


Press TV bagaimanapun tidak menyebut kerakyatan Maya.

Rangkaian itu menyiarkan siaran dalam bahasa Inggeris sementara Al-Alam dalam bahasa Arab.

Kedua-dua media itu dibiayai oleh kerajaan Iran yang menyokong penuh Presiden Bashar dalam menghadapi sengketa bersenjata sejak 18 bulan lalu. - AFP

No comments: