Pages

Thursday, September 27, 2012

Empat maut, 14 cedera letupan di Damsyik




KEPULAN asap tebal dilihat keluar dari ibu pejabat tentera Syria di Damsyik semalam.


DAMSYIK, Syria - Seramai empat orang maut dan 14 lagi cedera dalam dua letupan kuat selang 10 minit yang menggegarkan pusat bandar ini berhampiran ibu pejabat tentera darat dan udara semalam, lapor agensi berita rasmi negara ini, SANA.
Menteri Penerangan, Omran Zoubi memberitahu, letupan itu disebabkan oleh dua butir bom dengan salah satu daripadanya mungkin diletakkan di dalam ibu pejabat tentera.
Kedua-dua letupan yang berlaku selang seminit di antara satu sama lain sebelum pukul 7 pagi waktu tempatan berhampiran dataran Omayyad itu memecahkan tingkap bangunan berdekatan dan boleh didengari sejauh beberapa kilometer.
Kepulan asap tebal berwarna hitam menyelubungi pusat bandar ini dan ambulans dikejarkan ke tempat kejadian ketika polis menutup kawasan itu kepada lalu lintas.
Damsyik telah digegarkan oleh satu siri bom kereta dan pengeboman tepi jalan sejak beberapa bulan lalu ketika pemberontakan terhadap rejim Presiden Syria, Bashar Al-Assad bermula pada Mac tahun lepas bagi menuntut perubahan politik.
Sejak itu, kumpulan pemberontak mula mengangkat senjata apabila konflik bertukar menjadi perang saudara yang didakwa aktivis sudah meragut kira-kira 30,000 nyawa. - AP

No comments: