pelarian Syria
Lebih banyak khemah diperlukan untuk menampung kemasukan lebih ramai pelarian Syria pada masa akan datang.
pelarian syria
Pekerja misi bantuan bertanggungjawab memastikan bekalan makanan disalurkan kepada kumpulan pelarian di kem Zaatari itu.
AMMAN - Puluhan ribu penduduk Syria kini mendapatkan perlindungan di kem pelarian Zaatari yang didirikan di kawasan padang pasir tandus di utara Jordan, terletak kira-kira 10 kilometer dari sempadan negara itu.

Sejak ia mula dibuka lebih kurang sebulan lalu, lebih 20,000 pelarian telah berada di kem tersebut dan jumlahnya dijangka akan terus meningkat berikutan keadaan di Syria yang bergolak sejak 18 bulan lalu dilihat semakin meruncing. 

Perkara yang paling dikhuatiri adalah pertambahan secara mendadak akan menyebabkan kesesakan yang teruk di kem itu memandangkan puratanya telah bertambah kepada 600 orang sehari pada minggu lalu.

Kebanyakan pelarian tersebut terdiri daripada golongan wanita dan kanak-kanak yang berjaya menyelamatkan diri daripada menjadi korban dalam pertempuran antara tentera rejim Presiden Bashar al-Assad dan kumpulan pemberontak di beberapa bandar utama di negara itu.

Salah seorang budak perempuan berumur tujuh tahun menceritakan pengalaman ngerinya menyaksikan jirannya dibunuh dengan kejam.

Menurut kanak-kanak tersebut, dia bersama keluarganya terpaksa melarikan diri pada waktu malam dan berjalan selama beberapa jam merentasi sempadan untuk memasuki Jordan.

Seperti saudara lain, mereka juga tidak dapat membawa barang keperluan penting yang lain kecuali bekalan pakaian masing-masing. 

Organisasi bantuan kemanusiaan dan agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut bekerjasama untuk memastikan segalanya berjalan lancar bagi menerima kedatangan lebih ramai pelarian pada masa akan datang.

Pekerja misi turut menyuarakan kebimbangan mereka kerana kem itu dikatakan tidak mungkin lagi dapat menampung jumlah pelarian yang semakin ramai  pada setiap hari.

Pengurus kem dari Organisasi Kebajikan Hashemite Jordan, Mahmoud Amoush berkata, mereka memerlukan lebih banyak khemah, kemudahan sistem air lebih baik dan taman permainan untuk kanak-kanak.

“Bantuan sesi kaunseling juga amat diperlukan untuk membantu kanak-kanak yang mengalami trauma akibat keganasan di Syria," jelasnya.

Beberapa wanita mendakwa anak mereka sering mengalami mimpi buruk dan tidak berkelakuan normal sejak tercetusnya pergolakan di Syria.

Mereka bersikap lebih agresif dan ada sebahagian kanak-kanak tersebut berubah menjadi seorang yang pendiam serta akan melarikan diri untuk bersembunyi apabila mendengar bunyi kuat.

Seorang ibu kepada lima anak dikenali sebagai Wasfeyah berkata, semasa dia bersama keluarganya mahu melarikan diri ke Jordan, anak sulungnya, Ali telah terkena tembakan.

Percikan darah Ali turut mengenai adik bongsunya yang baru berumur enam tahun.

Sehingga ke hari ini, adik Ali masih memakai baju yang terdapat kesan darah abangnya berikutan ibu mereka tidak mempunyai wang untuk membeli pakaian baru.

Wasfeyah menyatakan akibat insiden tersebut, anak kecilnya itu kini tidak lagi dapat tidur lena kerana mengalami trauma.

Pada masa ini, pihak penyelaras kem telah membina taman permainan sebagai alternatif untuk 'memulihkan' minda golongan kanak-kanak tersebut dan turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada mereka.

Kemudahan di kem itu turut dinaik taraf dari semasa ke semasa dan sebanyak 40 peratus bekalan elektrik juga telah disalurkan untuk keselesaan kumpulan pelarian tersebut.

Bagaimanapun, cabaran terbesar yang terpaksa dihadapi oleh mereka adalah debu dan ribut pasir kerana ia memberi kesan kepada kesihatan kebanyakan daripada pelarian.

Doktor di kem Zaatari itu memaklumkan, bayi dan kanak-kanak adalah golongan paling mudah diserang penyakit yang berkaitan dengan masalah pernafasan.
Bekalan air juga dikhuatiri tidak dapat menampung keperluan puluhan ribu pelarian tersebut memandangkan penduduk Jordan sendiri dikatakan tidak mendapat bekalan air yang mencukupi.

Pada masa ini, mereka terpaksa mendapatkan bekalan air dari perigi milik penduduk tempatan kerana sistem bekalan air di kawasan tersebut sedang dalam pembinaan.

Menurut laporan PBB, sekurang-kurangnya 1.2 juta penduduk Syria telah dipindahkan.

Kira-kira 229,000 pelarian telah didaftarkan secara rasmi di Turki, Jordan, Lubnan dan Iraq.