BANGKOK - Empat renjer ditembak mati dan mayat mereka dibakar dalam satu serangan hendap oleh pemberontak di Muang, Yala hari ini.

Ketua Polis Muang Kolonel Akharin Busaman berkata semua anggota renjer itu dalam perjalanan ke Pekan Yala dengan menaiki sebuah pikap apabila mereka diserang hendap lima pemberontak di Satengnok, Muang pada 6.30 pagi.

Polis menemui 100 butir kelongsong peluru M16, AK47, senapang dan pistol di lokasi kejadian.

"Selepas kejadian tembak-menembak berakhir, pemberontak membakar pikap dan mayat keempat-empat mangsa," katanya.

Dalam perkembangan lain, seorang individu yang disyaki pemberontak ditembak mati ketika terbabit dalam satu pertempuran bersenjata dengan pihak berkuasa di Kampung Bangtan, Bangkhao, Nongchik, Pattani pada 7.30 malam, semalam.

Ketua Polis Nongchik Kolonel Akom Bautong berkata bertindak atas satu maklumat, sekumpulan askar mengepung sebuah rumah di kampung itu dan berlaku kejadian berbalas tembakan kira-kira 10 minit antara pihak berkuasa dengan individu tersebut yang turut mempunyai waran tangkap terhadapnya.

Beliau berkata seorang anggota tentera cedera dalam kejadian itu.

Lebih 5,000 orang maut sejak puak yang disyaki kumpulan pemisah meneruskan kempen bersenjata mereka bagi memperjuang kemerdekaan tiga wilayah di selatan Thailand iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala lapan tahun lepas. - Bernama