Taliban sasar bunuh Putera Harry
Putera Harry (kiri) diberi taklimat di Camp Bastion, Afghanistan. - Foto ihsan oleh AP
LONDON - Putera Harry berada di Camp Bastion, di selatan Afghanistan, ketika Taliban melakukan serangan sebagai tindakan membalas dendam ekoran penerbitan filem menghina Islam.

Dua askar Marin Amerika Syarikat (AS) terbunuh dalam serangan itu.

Seorang jurucakap Taliban dipetik BBC berkata, serangan itu diadakan sebagai tindakan memprotes penerbitan filem Innocence of Muslims.

Bagaimanapun Nato memberitahu Reuters bahawa putera itu tidak berada dalam keadaan bahaya.

Putera Harry, 28, tiba di pangkalan tentera itu, yang terletak di kawan Helmand, antara kubu kuat Taliban, minggu lalu - untuk mengikuti penempatan selama empat bulan.

Jurucakap Taliban, Qari Yousef Ahmadi memberitahu BBC bahawa sasaran mereka ialah askar AS dan Britain.

Serangan itu, yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 10 malam waktu tempatan (1.30 pagi tadi waktu Malaysia) juga menyebabkan beberapa pesawat dan bangunan rosak.