45 mayat ditemui berhampiran Damsyik
Sebahagian daripada mayat ditemui di dua kawasan pinggir Damsyik
BEIRUT - Penduduk tempatan menemui 45 mayat di dua kawasan pinggir bandar Damsyik dalam keganasan terbaru berikutan konflik yang sudah berlanjutan hampir 18 bulan, kata kumpulan hak asasi manusia.

Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, sekurang-kurangnya 23 mayat, termasuk wanita dan kanak-kanak ditemui di timur pinggir bandar Zamalka semalam, manakala 22 lagi ditemui di Qatana, sebuah perkampungan di tenggara Damsyik.

Zamalka menjadi sarang penunjuk perasaan anti-kerajaan, sekali gus mencetuskan perbalahan di antara tentera kerajaan dan askar pemberontak.

Sementara itu, aktivis pembangkang menyalahkan tentera pro-kerajaan di atas pembunuhan beramai-ramai itu.

Kelmarin, sebuah bandar di sempadan Jordan ditawan semula oleh tentera kerajaan Presiden Bashar al-Assad dan digunakan sebagai kawasan transit oleh pelarian yang melarikan diri daripada konflik itu.

Kejadian itu menyebabkan beratus tentera kerajaan dan kereta perisai diserang di Tel Chehab dengan berpuluh askar pemberontak membakar bangunan dan kediaman.

Sementara itu, Presiden Rusia Vladimir Putin memberi isyarat bahawa Moscow tidak bersedia untuk mengubah pendiriannya untuk menyokong Syria dan mencadangkan negara-negara Barat menggunakan kumpulan militan seperti al-Qaeda membantu menggulingkan Assad.

Manakala, Iraq pula menafikan tuduhan Amerika Syarikat bahawa negara itu membenarkan Iran untuk menggunakan ruang udara bagi menghantar keperluan senjata ke Syria.

Seorang jurucakap kerajaan Iraq berkata, Baghdad tidak akan membenarkan mana-mana negara menggunakan ruang udaranya untuk berurusan dengan mana-mana pihak di Syria.