Pages

Thursday, August 2, 2012

Tiga juta penduduk menderita di Aleppo

Seorang budak lelaki membawa beberapa plastik roti, ketika berpuluh-puluh yang lain beratur di luar sebuah kedai roti di bandar Aldana, berhampiran Aleppo, Syria, kelmarin. - AFP
BEIRUT 1 Ogos - Kira-kira tiga juta penduduk Aleppo, Syria kini hidup menderita ketika bandar tersebut dikepung oleh tentera buat hari ke-11.
Ini kerana bekalan makanan dan gas untuk memasak semakin berkurangan dan kediaman-kediaman di bandar terbesar di Syria itu pula bergelap ekoran bekalan elektrik yang sering terputus.
Aktivis berkata, ketika pemberontak merampas dua balai polis, tentera menyerang kubu kuat pemberontak di Salaheddin dan Seif al-Dawla di barat daya Aleppo.
"Helikopter milik tentera kerajaan melancarkan serangan di kedua-dua daerah tersebut.
"Tentera tidak dapat memasuki kawasan berkenaan menyebabkan mereka melancarkan serangan dari jarak jauh,'' kata seorang penduduk Aleppo, Mohammed Nabehan.
Nabehan yang melarikan diri ke khemah pelarian Kilis berdekatan sempadan negara itu dengan Turki berkata, penduduk Aleppo sukar mencari makanan.
"Situasi kemanusiaan di sana sangat teruk. Bekalan makanan tidak cukup dan ramai orang cuba meninggalkan bandar.
"Kami memerlukan bantuan baru dari luar. Orang awam juga turut diserang,'' katanya.
Dia berkata, penduduk Aleppo kini terpaksa memasak menggunakan kayu api. - AGENSI

No comments: