Pages

Thursday, August 2, 2012

Tiga cedera letupan bom di Pattani

ANGGOTA keselamatan Thai, memeriksa lokasi letupan bom berhampiran Hotel CS Pattani di Jalan Nong Chik, wilayah Pattani, selatan Thailand, kelmarin. - REUTERS
PATTANI 1 Ogos - Tiga orang cedera apabila sebutir bom yang disembunyikan di dalam sebuah kenderaan, meletup di luar sebuah hotel utama di wilayah ini, semalam.
Kejadian kira-kira pukul 6.50 petang waktu tempatan tersebut turut menyebabkan bekalan elektrik terputus di bandar ini kerana letupan berlaku berdekatan sebuah kabel kuasa elektrik.
Letupan tersebut turut menyebabkan kerosakan kepada Hotel CS Pattani yang terletak di Jalan Nong Chik.
Menurut saksi, pasukan polis segera dikerah ke lokasi kejadian bagi mengenal pasti punca letupan.
Polis turut melakukan pemeriksaan di kawasan sekitar hotel berkenaan bagi mengelak kemungkinan sebutir bom lagi ditempatkan di sana.
Jurucakap polis, Kolonel Somporn Meesuk berkata, serangan di hotel CS Pattani itu dipercayai didalangi kumpulan pemisah.
Gabenor Pattani, Theera Mintrasak berkata, penyerang membawa sebuah trak pikap yang dipenuhi bahan letupan seberat 50 kilogram dan meletakkan kenderaan itu di luar pintu belakang hotel lapan tingkat tersebut.
Polis kini memeriksa rakaman dari kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sebuah tiang berdekatan.
Serangan bom kereta itu merupakan kejadian terburuk ketiga berlaku di wilayah selatan Thailand sejak bermulanya Ramadan pada 20 Julai lalu. - AGENSI

No comments: