Pages

Thursday, August 16, 2012

Saman FBI intip Muslim ditolak


Utamakan rahsia kerajaan agar tidak diketahui umum 

LOS ANGELES: Hakim persekutuan Amerika Syarikat kelmarin menolak saman menuduh Biro Siasatan Persekutuan (FBI) melanggar kebebasan awam kerana menyuruh seorang lelaki mengintip penduduk Islam di beberapa masjid California dengan memutuskan bahawa membenarkan kes itu dibicarakan boleh mendedahkan rahsia kerajaan.

Hakim di Mahkamah Daerah Santa Ana berkenaan, membenarkan kes diteruskan ke atas lima ejen terkini atau bekas petugas FBI yang dituduh plaintif melanggar Akta Pengawasan Perisikan Asing.
Dalam keputusan 36 muka surat, hakim Cormac Carney menyatakan beliau keberatan menolak kes itu sebelum diproses mahkamah, namun terpaksa menimbang keselamatan negara berbanding individu.

Dalam keputusan itu, Carney menyamakan dirinya dengan hero rekaan Greek, Odysseus yang ketika belayar pulang dari Perang Trojan berdepan cabaran mengemudi kapal melepasi raksasa berkepala enam atau pusaran air.

Intip masjid

“Odysseus cuba melepasi raksasa meskipun mungkin hilang beberapa kelasi daripada membahayakan kapal dalam pusaran air. Begitu juga, permohonan mengutamakan rahsia negara menyebabkan kebebasan individu demi keselamatan negara menjadi korban,” katanya.
Tuntutan saman itu yang difailkan tahun lalu berkata, FBI menghantar seorang pemberi maklumat menyamar yang dibayar dikenali Craig Monteilh ke dalam masjid di Orange County untuk mengutip maklumat peribadi ratusan atau mungkin ribuan penduduk Islam. - Reuters

No comments: