Pages

Sunday, August 5, 2012

PBB beri amaran


Seorang budak lelaki bermain dengan senapang AK-47 milik bapanya di Azaz, kira-kira 47 kilometer dari utara Aleppo, Syria, kelmarin. - REUTERS
ALEPPO 4 Ogos - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon semalam, menggesa kuasa dunia mengenepikan permusuhan antara satu sama lain bagi menamatkan ‘perang proksi’ di Syria, ketika pertempuran sengit berlanjutan di Damsyik dan Aleppo.
Ki-moon mengingatkan mengenai kegagalan badan dunia itu dalam pembunuhan beramai-ramai Srebrenica, di Bosnia dan memberi amaran perbezaan pendapat dalam Majlis Keselamatan perlu diketepikan demi kepentingan rakyat Syria.
“Peningkatan radikalisme dan pandangan pelampau telah diramalkan sejak permulaan konflik tersebut pada Mac tahun lepas. Apa yang telah diramalkan sedang berlaku,’’ katanya.
Ki-moon berkata demikian ketika berucap sebelum pengundian Perhimpunan Agung PBB yang mengkritik Majlis Keselamatan PBB atas kegagalan untuk bertindak berhubung konflik tersebut dan mengutuk Presiden Syria, Bashar al-Assad menggunakan senjata berat dalam perang sivil sejak 17 bulan lalu tersebut.
Beliau berkata, Majis Keselamatan menjadi ‘lumpuh’ akibat perbezaan pendapat berhubung Syria.
“Kini dengan situasi semakin buruk, mereka sekali lagi perlu mencari pendapat bersama,’’ katanya.
Dalam pada itu, tentera Syria menyerang kubu kuat terakhir pemberontak di Damsyik dengan kereta kebal dan kereta berperisai selain melancarkan serangan meriam di Aleppo semalam.
Pemberontak memberitahu Reuters bahawa mereka berjaya merampas sebuah balai polis utama selepas pertempuran selama beberapa hari.
Komander pemberontak, Abu Zaher berkata, pihaknya menahan beberapa pegawai polis selain merampas senjata dan peluru.
Pemberontak berkata, pertempuran sengit kini berlaku di daerah Salaheddin, Aleppo di mana kira-kira 20 orang awam maut. - AFP

No comments: