Pages

Sunday, August 5, 2012

Abu Bakar Bashir ancam perang ke atas Myanmar


JAKARTA 3 Ogos - Seorang guru agama Indonesia yang sedang merengkok di penjara, Abu Bakar Bashir mengancam untuk melancarkan peperangan sekiranya Myanmar berterusan menindas masyarakat Islam Rohingya.
Ancaman Bashir itu disuarakan melalui sepucuk surat bertarikh 22 Julai lalu yang ditujukan kepada Presiden Thein Sein dan disiarkan dalam laman web voa-silam.com hari ini.
Bashir, 74, dikenali di seluruh dunia sebagai ketua kumpulan radikal di Indonesia dan sedang menjalani hukuman penjara selama 15 tahun atas kesalahan membiayai aktiviti keganasan.
"Kami mengetahui umat Islam di negara anda (Myanmar) hidup terseksa atas perbuatan anda menghalau mereka dari rumah dan membunuh mereka.
"Jika anda mengabaikan amaran ini, dengan kuasa Allah, anda akan menyaksikan kemegahan dan keangkuhan negara anda jatuh ke tangan pejuang kami," kata Bashir dalam surat tersebut.
Bashir berkata, Myanmar seharusnya sedar bahawa semua umat Islam termasuk di Myanmar adalah bersaudara.
"Kesakitan mereka adalah kesakitan kami, kesedihan mereka adalah kesedihan kami dan darah mereka juga adalah darah kami.
"Dengan izin Allah, kami akan menghancurkan anda dan negara anda," jelas Bashir.
Surat berkenaan disahkan tulen oleh Son Hadi, seorang jurucakap kumpulan Jemaah Anshorut Tauhid (JAT) yang dibiayai Bashir sejak 2008 dan dilabel sebagai kumpulan pengganas oleh Amerika Syarikat (AS).
Hadi berkata, surat tersebut telah dihantar kepada Kedutaan Myanmar pada Isnin lalu. - AFP

No comments: