Pages

Friday, August 31, 2012

Mursi sokong pemberontak




         
TEHERAN: Presiden Mesir, Mohamed Mursi semalam mengecam kerajaan Syria dengan menyifatkannya sebagai ‘menindas’ dan menggesa sokongan untuk pemberontak yang berusaha menggulingkan Presiden Bashar al-Assad.

Ucapan Mursi pada sidang kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) di Teheran menyebabkan perwakilan Syria meninggalkan dewan.


Ucapan itu turut diselar Menteri Luar Syria, Walid Muallem yang menuduh kenyataan beliau akan menyebabkan lebih banyak pertumpahan darah di negara itu.

Ia turut memalukan Iran yang menganjur sidang kemucak dua hari NAM itu. Teheran ialah penyokong paling kuat kerajaan Bashar.


“Revolusi di Mesir adalah asas kepada Kebangkitan Arab yang bermula beberapa hari selepas Tunisia, kemudian diikuti oleh Libya dan Yaman dan revolusi yang berlaku di Syria ketika ini ialah untuk menentang rejim yang menindas.


“Perpaduan kami dengan perjuangan rakyat Syria dalam menentang rejim yang menindas adalah tugas beretika dan satu keperluan politik dan strategi,” kata Mursi dalam ucapannya. “Kenyataan beliau adalah campur tangan terhadap hal ehwal dalaman Syria dan menghasut pertumpahan darah berterusan di Syria,” kata Muallem, dipetik oleh televisyen Syria.

Ikhwanul Muslimin yang dianggotai oleh Mursi bersekutu dengan kumpulan penentang utama di Syria.


Beliau menjadi pemimpin Mesir pertama menjejakkan kaki di Iran sejak revolusi Islam pada 1979. Mesir memutuskan hubungan dengan Iran selepas revolusi itu apabila ulama yang menentang perjanjian damai negara itu dengan Israel dan menyambut baik pembunuhan Presiden Anwar Sadat, orang yang menandatangani perjanjian berkenaan, mengambil alih tampuk pemerintahan Iran.

Duduk bersebelahan dengan Presiden Mahmoud Ahmadinejad, Mursi menghadiri sidang berkenaan untuk menyerah jawatan ketua NAM kepada Iran.


Dalam ucapannya, pemimpin Mesir itu turut menyuarakan sokongan terhadap hak rakyat Palestin untuk mewujudkan sebuah negara sendiri. - AFP

No comments: