Pages

Monday, August 6, 2012

Akui kuasa tentera


Morsi (kanan) bersalaman dengan pegawai tentera Mesir selepas menghadiri satu upacara rasmi di Ismailia, timur Kaherah semalam. - Foto AFP
Morsi (kanan) bersalaman dengan pegawai tentera Mesir selepas
menghadiri satu upacara rasmi di Ismailia,
 timur Kaherah semalam. - Foto AFP

Kaherah: Presiden Mesir, Mohammed Morsi, kelmarin memberikan ucapan panjang memuji peranan tentera mengawal keadaan menjelang pilihan raya, mengisytiharkan beliau, kerajaan dan pegawai tentera yang berpengaruh akan bekerjasama untuk masa depan lebih baik.

Hargai bantuan tentera

Berucap dengan diiring oleh ketua pasukan bersenjata, Marshal Hussein Tantawi yang berada di sisinya dan disaksikan beratus-ratus anggota tentera termasuk jeneral yang menjadi penonton, Morsi, menegaskan kedudukannya sah sebagai presiden pertama Mesir yang dilantik, mengakui jawatan berkenaan tidak akan berjaya dicapai tanpa sokongan padu yang diberikan tentera kepada beliau dan partinya.

Ucapan terbabit menunjukkan persefahaman antara beliau dan tentera selepas ketegangan awal ketika tempoh peralihan di Mesir sejak penyingkiran Presiden Hosni Mubarak.

Beberapa sebelum Morsi diisytiharkan sebagai Presiden, majlis tentera yang diketuai oleh Tantawi, menggugurkan kuasa penting presiden dan mengisytiharkan majlis sebagai pihak berkuasa perundangan negara selepas membubarkan Parlimen yang dikuasai pergerakan Ikhwanul Muslimin.

Tentera kawal Perlembagaan

Tentera, yang mengambil alih kuasa selepas Mubarak disingkirkan dalam kebangkitan rakyat pada awal tahun 2011, juga mengawal proses merangka Perlembagaan baru Mesir.
Namun Morsi mengelak daripada menyentuh isu itu dalam ucapan kelmarin.
Beliau sebaliknya mengalihkan tumpuan dengan memberi fokus kepada sokongan tentera kepada Pilihan Raya Umum Presiden.

Semangat rakyat tidak akan menentang pasukan tentera. Ia akan sentiasa ada bersama-sama pasukan keselamatan negara ini selepas Tuhan, kita akan melindungi kepentingan Mesir di dalam dan luar negara, katanya.

Morsi juga berkata pasukan tentera kekal sebagai batu asas dalam hubungan Mesir dengan komuniti antarabangsa dan faktor kestabilan politik dan ekonomi negara itu.

Presiden adalah ketua utama pasukan tentera kerana kehendak rakyat. Saya tidak akan membenarkan sesiapa pun menghina pasukan tentera atau negara ini, atau cuba menghalang laluan demokratik yang anda lindungi, katanya.

Hormati proses demokratik

Morsi berjanji beliau akan menghormati proses demokratik dan pilihan raya pada masa depan. Berucap kepada barisan jeneral, beliau berkata: Apa yang saya minta, bukan apa yang saya arahkan, ialah terus menyokong laluan demokratik di Mesir. Ini penting kepada anda, anak dan cucu anda.

Selain daripada pergelutan mendapatkan kuasanya, Morsi dan kerajaan baru kini terperangkap dalam masalah ekonomi dan sosial yang semakin mencengkam selepas beberapa bulan berlakunya peralihan kuasa.

Morsi juga mengambil masa memilih Perdana Menteri dan membentuk kerajaan baru, dalam apa yang kelihatan sebagai proses melaksanakan kerjasama rapat dengan tentera. 

No comments: