Pages

Friday, August 3, 2012

3 juta perlu bantuan di Syria

Sekumpulan wanita berbaris untuk membeli roti di kedai wilayah Idlib, Syria, kelmarin. - Foto REUTERSSekumpulan wanita berbaris untuk membeli roti di kedai wilayah Idlib, Syria, kelmarin. - Foto REUTERS
FAO dedah keperluan ketika Bashar didesak letak jawatan 

Rome: Tiga juta penduduk Syria memerlukan bantuan makanan, tanaman dan ternakan, kata Pertubuhan Pertanian dan Makanan (FAO), sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 
Daripada angka itu, 1.5 juta rakyat Syria amat memerlukan bantuan makanan segera dalam masa tiga hingga enam bulan akan datang terutama di kawasan konflik paling teruk hingga memusnahkan tempat tinggal, kata agensi itu. 

“Hampir sejuta penduduk perlukan bantuan tanaman dan ternakan seperti benih, makanan haiwan, minyak dan baik pulih pam saliran. Bantuan makanan diperlukan dalam masa 12 bulan akan datang apabila penduduk memerlukan sokongan zat dijangka mencecah tiga juta,” kata kenyataan bersama oleh FAO dan Program Makanan Sedunia (WFP). 

Sektor pertanian rugi RM5.58b 

Tinjauan, yang dibuat Jun lalu oleh FAO, WFP dan kementerian pertanian Syria mendapati sektor pertanian kerugian keseluruhan AS$1.8 bilion (RM5.58 bilion) tahun lalu disebabkan konflik. 

Kerugian termasuk kemusnahan tanaman seperti gandum, barli, ceri, pokok zaitun dan sayur, selain ternakan dan sistem pengairan. 
WFP mula menghantar bantuan makanan ke Syria pada Oktober 2011 dan menaikkan operasinya, untuk sampai kepada 540,000 penduduk Julai lalu. Kata ia mensasarkan bantuan tiba kepada 850,000 penduduk bulan ini. 

Desak henti bedilan 

Di New York, negara Arab semalam mendesak Perhimpunan Agung PBB mengeluarkan satu resolusi simbolik menuntut Presiden Syria, Bashar Assad meletak jawatan dan menyerahkan kuasa kepada sebuah kerajaan peralihan.

Mereka turut menuntut supaya tentera Syria menghentikan bedilan dan serangan helikopter selain berundur ke berek mereka. Satu undian dijangka dibuat pagi ini. 

Deraf resolusi diedarkan menghentam Russia dan China yang dituduh menyebabkan kegagalan Majlis Keselamatan untuk bertindak. 

Moscow dan Beijing menggunakan kuasa veto mereka sebanyak tiga kali untuk menyekat keputusan yang boleh membuka pintu kepada sekatan terhadap Syria. - Agensi

No comments: