Pages

Thursday, August 23, 2012

140 lagi korban pertempuran di Syria


Seorang penduduk Syria dibantu rakannya mengangkat seorang kanak-kanak yang cedera dalam serangan udara tentera kerajaan ke atas bandar Azaz di pinggir Aleppo pada 15 Ogos lalu yang memusnahkan kira-kira 10 buah rumah penduduk. - AP
BEIRUT 21 Ogos - Pertempuran antara tentera kerajaan dan pemberontak di seluruh Syria terus berlarutan pada Hari Raya kedua semalam, menyebabkan lebih 140 orang lagi terkorban.
Kebanyakan yang terkorban ialah di selatan wilayah Daraa, pusat kebangkitan rakyat Syria terhadap kepimpinan Presiden Bashar al-Assad, menurut pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia.
Pertubuhan yang beribu pejabat di London itu berkata, seorang wartawan wanita Jepun yang membuat liputan di bandar Aleppo turut terkorban semalam, manakala tiga lagi wartawan dari Turki, Lebanon dan negara Arab dilaporkan hilang.
Menurut aktivis, bedilan kuat berlaku di Daraa kerana tentera kerajaan percaya beberapa pembelot yang berjawatan tinggi, termasuk Naib Presiden Farouk al-Sharaa, dipercayai bersembunyi di situ.
Pejabat Naib Presiden, bagaimanapun menafikan laporan yang menyatakan Sharaa telah belot dan agensi berita kerajaan turut menafikan Menteri Luar Walid al-Moallem telah dilantik untuk mengisi kekosongan itu.
Bekas Perdana Menteri Riad Hijab, seorang lagi pemimpin kerajaan berprofil tinggi yang belot, sebelum ini dipercayai berada di Dara sebelum melarikan diri ke Jordan.
Pertempuran terbaru ini tercetus ketika pemantau antarabangsa terakhir bersiap-sedia untuk keluar dari Syria selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada minggu lalu menolak untuk melanjutkan mandat mereka yang tamat kelmarin.
Wakil khas baru PBB dan Liga Arab ke Syria, Lakhdar Brahimi dalam kenyataan pertamanya pula menyuarakan rasa marah terhadap pembangkang dan kerajaan Syria.
Sementara itu di Washington, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengeluarkan amaran 'tahap merah' di Syria berhubung penggunaan senjata kimia.
"Akibat yang sangat besar akan diterima Syria jika AS mengesan sebarang penggunaan senjata kimia oleh tentera kerajaan," tegas Obama.
Dalam satu kejadian berasingan semalam, sebuah kereta meletup berhampiran balai polis di tenggara Turki, kawasan yang bersempadan dengan Syria, menyebabkan lapan orang terbunuh dan 50 lagi cedera, lapor media Turki.
Setakat ini belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas letupan di Gaziantep itu, tempat kira-kira 70,000 pelarian Syria mendapat pwerlindungan di dalam khemah-khemah di situ. - dpa

No comments: