Pages

Tuesday, July 31, 2012

Tentera Syria tawan sebahagian Aleppo



Gambar dikeluarkan saluran pembangkang Syria, Shaam News Network semalam, menunjukkan sebuah kereta kebal tentera yang dimusnahkan pemberontak di bandar al-Tall, barat daya Syria. - AFP
DAMSYIK 30 Julai - Tentera Syria hari ini berjaya menawan semula beberapa bahagian yang dikuasai pemberontak di daerah Salaheddin di bandar hub komersial Aleppo.
Menurut satu sumber keselamatan di Damsyik, tentera kerajaan telah menguasai sebahagian daerah Salaheddin dan terus melancarkan serangan, selepas tiga hari tentera melancarkan serangan ke atas pemberontak di bahagian utara di bandar itu.
Bagaimanapun, ketua majlis Tentera Pembebasan Syria (FSA) di Aleppo, Kolonel Abdel Jabbar al-Oqaidi, menafikan laporan itu dan bertegas tentera kerajaan 'masih tidak mencapai sebarang kejayaan'.
"Kami melancarkan serangan baru di Salaheddin malam tadi dan memusnahkan empat kereta kebal tentera kerajaan," kata komander pemberontak itu melalui panggilan telefon.
Agensi berita rasmi SANA semalam mengumumkan bahawa tentera Syria dalam misi 'membersihkan' daerah Salaheddin daripada 'pengganas'.
Pemberontak semalam turut mendakwa berjaya mematahkan semua serangan tentera di bandar yang paling ramai dihuni penduduk di Syria itu.
Sementara itu, Ketua Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Valerie Amos berkata, kira-kira 200,000 penduduk awam melarikan diri dari Aleppo dalam tempoh dua hari lalu dan ramai lagi yang terperangkap.
Menurutnya, ramai penduduk di bandar itu berlindung di sekolah dan bangunan awam. Mereka kini memerlukan bantuan kecemasan seperti makanan, tilam, selimut dan air bersih. - AFP

No comments: