Mitt Romney
Mitt Romney mengadakan pertemuan dengan Benjamin Netanyahu hari ini.
TEL AVIV - Calon Republikan bagi jawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Mitt Romney berkata, beliau akan menghormati keputusan Israel menggunakan tindakan ketenteraan bagi menghalang Iran daripada membangunkan senjata nuklear, kata salah seorang pembantunya hari ini.
Romney yang berada di Israel dijangka menjanjikan hubungan yang rapat antara Washington dan Tel Aviv jika beliau dipilih sebagai presiden November ini.
Beliau dijangka menegaskan pendiriannya semasa menyampaikan ucapan sempena lawatan ke Israel.
Presiden AS, Barack Obama memfokus pada pendekatan mengenakan sekatan bagi menghalang cita-cita nuklear Iran.
Romney sedang mengadakan lawatan ke Israel dan Britain, yang sedang menganjurkan Sukan Olimpik 2012 di London.
Pagi tadi, Romney mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Shimon Peres.
"Jika Israel perlu mengambil tindakan sendiri, dalam usaha menghalang Iran daripada membangunkan keupayaannya, gabenor (Romney) akan menghormati keputusan itu," kata penasihat dasar luarnya, Dan Senor kepada pemberita sebelum Romney menyampaikan ucapannya.