Pages

Sunday, July 8, 2012

SEMUA ADA DALAM AL-QURAN


“Semua ilmu ada dalam Al-Quran”, kata seorang ulama.

“Maksud tuan, ilmu dunia juga?”, balas seorang pemuda.

“Ya, ilmu dunia dan akhirat”.


“Saya tidak percaya. Masakan begitu? Bagi saya, mustahil kitab Al-Quran yang hanya terdiri daripada ribuan ayat itu boleh mengisi semua bentuk ilmu,” kata pemuda tersebut.

“Jadi, berapa ayat yang diperlukan untuk memuatkan semua ilmu yang ada?” tanya ulama.

“Wah, tentulah berbilion-bilion banyaknya. Bentuk dan jenis ilmu tersangat luas.”

“Saya masih berpendapat semua asas ilmu ada dalam Al-Quran.”

“Saya tetap tidak bersetuju,” tegas si pemuda. Ulama hanya tersenyum.

Akibat tidak berpuas hati, keesokan harinya, pemuda itu bertemu semula dengan ulama itu. Beliau bertanya sama ada ulama itu masih lagi percaya bahawa semua ilmu ada dalam Al-Quran, dan ulama itu masih tetap dengan jawapan beliau iaitu YA.

“Kalau begitu, berapa banyak minyak yang boleh didapati daripada sekilogram buah kelapa sawit?” tanya pemuda tersebut.


Ulama itu diam. Pemuda itu rasa bangga kerana pada pengamatannya, ulama itu akan tunduk dengan pandangannya. “Dan jangan lupa tunjukkan nama surah dan ayatnya sekali ya..,” tambah pemuda itu.

Beberapa lama kemudian, ulama itu berkata, “Ya, saya tahu jawapannya. Malah saya tahu surah serta ayat yang menjawab persoalan itu. Tetapi untuk menjawabnya, mari ikut saya.” Pemuda itu mengikut ulama tersebut menuju ke sesuatu tempat. “Kita nak ke mana?”. “Ikut sajalah,” kata ulama tersebut.

Tidak lama kemudian, mereka bertemu dengan seorang pekerja yang sedang menyelia kerja-kerja memproses buah kelapa sawit. Ulama itu bertanya, “Tuan, boleh beritahu kami berapa banyak minyak yang kita akan dapat daripada sekilogram buah kelapa sawit?”

Penyelia itu spontan memberi jawapannya. Sejurus kemudian, ulama berkata kepada si pemuda, “itulah jawapannya”.

“Eh, saya mahukan jawapan daripada Al-Quran, bukan penyelia ini!”, bantah pemuda itu agak marah. Ulama itu menyatakan bahawa itulah jawapan Al-Quran. Pemuda itu tidak faham akan maksud ulama itu.

“Inilah jawapan Al-Quran. Dalam surah al-Nahl ayat 43, Allah telah berfirman yang bermaksud, ‘Bertanyalah kepada orang yang mengetahui jika kamu tidak mengetahui.’ Dan kita telah bertanya kepada penyelia kilang kelapa sawit ini tentang soalan kamu. Inilah yang dijelaskan kaedahnya oleh Al-Quran. Dan ini adalah jawapan Al-Quran kepada soalan kamu itu.”


Pengajaran:

1. Al-Quran bukan kitab sejarah, sains atau ilmu-ilmu yang lain. Namun begitu, dalam Al-Quran ada asas dan teras umum bagi ilmu-ilmu itu yang menjadi dasar, prinsip dan panduan untuk mengembangkannya. Jika seseorang mempelajari Al-Quran secara mennyeluruh, dia akan mempunyai general knowledge semua ilmu yang penting di dunia ini.

2. Marilah kita rajin-rajin membaca Al-Quran dan juga terjemahannya. Lebih baik lagi sekiranya kita memahami maksud terjemahan Al-Quran, dan lebih baik sekiranya kita mengamalkan ayat-ayat Al-Quran dalam kehidupan seharian kita.

No comments: