Pages

Sunday, July 8, 2012

Rayu anak gadis lari ikut teman lelaki pulang

Ibu rayu anak gadis lari ikut teman lelaki pulang
Melati menunjukkan gambar Nurayu yang hilangkan diri sejak empat tahun lalu.
MELAKA - Tidak tahan berendam air mata menanggung rindu selama empat tahun, seorang ibu merayu anak perempuannya pulang selepas menghilangkan diri dipercayai mengikut teman lelaki.

Tindakan Nurayu Nasir, 24, menghilangkan diri sejak Ogos 2008 itu menyebabkan ibunya, Asnah Aman, 51, sering jatuh sakit sehingga dimasukkan ke hospital beberapa kali akibat tekanan darah tinggi dan sesak nafas.

Menurut kakak sulung Nurayu, Melati Nasir, 31, adiknya meninggalkan rumah ketika berusia 20 tahun selepas keluar kira-kira jam 9 pagi, membawa bersama semua barangan miliknya dan tidak pulang semula selepas itu.

“Adik yang hanya tinggal berdua di rumah bersama nenek ketika itu memberitahu hendak ke kedai tetapi sehingga kira-kira jam 12.30 tengah hari, adik tidak pulang.

“Risau dengan keselamatannya, nenek menghubungi ayah, Nasir Ayob, 51, yang kemudian bergegas pulang dan mendapati pakaian, barangan peribadi dan gambar Nurayu
tiada di biliknya," katanya ketika ditemui di Taman Pertam Jaya, di sini, semalam.

Melati berkata, adiknya yang merupakan anak keempat daripada 10 beradik dipercayai lari mengikut teman lelaki, yang juga anak seorang bergelar Datuk dan tinggal di kawasan berhampiran.

“Sikap adik yang pemalu dan kurang bercakap berubah sejak mengenali lelaki itu dan dipercayai adik bertindak keluar rumah selepas hubungan mereka terhalang.

“Ayah mahu dia menyambung pelajaran kerana mendapat tawaran ke sebuah universiti selepas tamat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” katanya.

Sementara itu, katanya, hasil maklumat beberapa rakan ayahnya, Nurayu dikatakan berada di Terengganu bersama lelaki itu, bagaimanapun usaha menjejakinya beberapa kali ke negeri itu menemui jalan buntu.

“Kami pernah membuat semakan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan terkejut apabila mendapati alamat terkini adik pada kad pengenalannya ialah rumah lelaki itu. Ini  menguatkan lagi sangkaan kami dia lari mengikut lelaki tersebut.

“Saya mewakili ahli keluarga merayu supaya adik segera menghubungi kami kerana kesihatan emak semakin merosot, malah kami seluruh keluarga rindukan dia dan berharap dapat menyambut Aidilfitri bersama-sama tahun ini,” katanya.

Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai Nurayu diminta menghubungi Melati di talian 019-771 8766 atau ibunya 010-501 8899.


Rayu anak gadis lari ikut teman lelaki pulang - Melaka & NS - Sinar Harian:

No comments: