Pages

Sunday, July 29, 2012

‘Ibu’ perang bermula


        
ALEPPO: Tentera Syria semalam melancarkan serangan besar-besaran dalam usaha untuk menawan semula bandar kedua terbesar ini.

Dengan dibantu kereta kebal dan helikopter bersenjata yang dihimpunkan sejak dua hari lalu, tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad itu bergerak ke daerah barat laut bandar komersial berkenaan, tempat yang menjadi tumpuan kumpulan pemberontak ketika mereka menawan sebahagian besar bandar di utara Syria itu pada 20 Julai lalu.


Meriam digunakan untuk membedil daerah Salaheddin dan kawasan lain yang dikuasai pemberontak ber mula jam 8 pagi (1 tengah hari waktu Malaysia) sementara tentera darat mara.

Penduduk awam bersesak-sesak untuk berlindung di besmen bangunan.


“Anda boleh kata pertempuran untuk menawan Aleppo sudah bermula.


“Pertempuran paling sengit sudah meletus di beberapa kawasan Aleppo,” kata ketua Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi, Rami Abdel Rahman. Video yang dirakam kumpulan itu menunjukkan kepulan asap di beberapa bangunan di bandar itu. Bunyi tembakan juga jelas kedengaran.

Media prokerajaan sebelum ini memberi amaran, ibu segala peperangan di Syria akan meletus di Aleppo apabila tentera kerajaan melancarkan serangan yang akan menentukan nasib bandar berkenaan.


“Allepo akan menjadi pertempuran terakhir dilancarkan oleh tentera Syria bagi menumpaskan pengganas dan selepas itu, krisis Syria akan berakhir,” kata akbar al-Watan.

Kedua-dua pihak mengaku jumlah kematian akan tinggi apabila pertempuran berlaku.


Tiga pejuang pemberontak terbunuh di Aleppo awal semalam, sejurus sebelum tentera Syria melancarkan serangan besar-besaran. - Reuters

No comments: