Pages

Wednesday, June 13, 2012

Tentera Syria bedil Al-Haffe


IMEJ yang disiarkan di laman YouTube semalam menunjukkan asap menjulang tinggi semasa pertempuran antara tentera Syria dengan para penentang Bashar di Homs.


DAMSYIK - Tentera rejim pemerintah Syria membedil bandar Al-Haffe di utara negara berkenaan untuk hari kelapan semalam.
Perkembangan tersebut mencetuskan kebimbangan akan berlaku pembunuhan beramai-ramai terbaharu di Syria.
Serangan berkenaan turut mendorong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuntut agar pasukan pemerhatinya diberikan akses untuk melawat bandar itu.
Seorang pegawai pertubuhan Pemerhati Syria bagi Hak Asasi memberitahu agensi berita AFPbahawa tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad menggunakan meriam berat untuk membedil bandar berkenaan sementara mengumpul kekuatan untuk melakukan serangan darat.
Beberapa penduduk Al-Haffe memberitahu bahawa helikopter-helikopter tempur membedil kedudukan pemberontak di bandar itu.
Mereka bimbang tragedi pembunuhan beramai-ramai akan berlaku jika tentera Bashar memasuki Al-Haffe.
Sebelum ini, 55 orang maut dalam pembunuhan beramai-ramai di Al-Kubeir pada minggu lalu dan sekurang-kurangnya 108 mangsa lagi dibunuh dekat Houla pada 25 dan 26 Mei lalu.
Bandar Al-Haffe dianggap strategik kerana terletak berdekatan bandar kelahiran Bashar, Qardaha.
Menurut Abdel Rahman, terdapat ratusan anggota Tentera Pembebasan Syria yang masih aktif dalam dan di sekitar Al-Haffe.
Bandar yang terletak dalam wilayah Latakia dan dihuni oleh sekitar 30,000 orang itu bakal menjadi medan konfrontasi ganas antara pemberontak dan tentera Syria.
Kelmarin, tentera Syria dilaporkan melepaskan bedilan di bandar Homs dan Hama, wilayah Daraa, Aleppo dan pinggir bandar Damsyik.
Pertempuran antara tentera Syria dengan para penentang pemerintahan Bashar bermula pada awal tahun lalu yang dikatakan telah meragut nyawa lebih 14,000 orang. - Agensi

No comments: