Pages

Wednesday, June 13, 2012

Syria guna budak: PBB

NEW YORK: Tentera Syria menyeksa kanak-kanak, membunuh mereka dan menjadikan golongan itu yang semuda usia lapan tahun sebagai perisai manusia ketika menyerang pemberontak, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam. 

PBB melabel kerajaan Syria antara pemerintah paling teruk mengikut senarai negara bermasalah tahunannya kerana kanak-kanak diseksa, dibunuh atau dipaksa berperang.
Kumpulan hak asasi manusia menganggarkan 1,200 kanak-kanak maut dalam bantahan anti pemerintah selama 15 bulan terhadap Presiden Bashar al-Assad yang dikecam masyarakat antarabangsa kerana bertindak kejam ke atas penunjuk perasaan.
“Jarang sekali saya lihat kekejaman terhadap kanak-kanak seperti di Syria apabila kanak-kanak lelaki dan perempuan ditahan, diseksa, dibunuh dan digunakan sebagai perisai manusia,” kata wakil khas PBB bagi kanak-kanak dalam konflik bersenjata, Radhika Coomaraswamy. 

Tentera kerajaan mengumpul berpuluh-puluh kanak-kanak lelaki berusia lapan hingga 13 tahun sebelum menyerang kampung Ayn l’Arouz di Idlib pada 9 Mac lalu, menurut laporan. 

Mereka digunakan tentera dan anggota militia sebagai perisai manusia, ditempatkan di depan tingkap bas yang membawa askar menyerang kampung itu. 

Memetik kenyataan saksi dalam laporan PBB, askar dan pasukan perisik Syria serta militia Shabiha pro-kerajaan, mengepung sebelum menyerang kampung berkenaan lebih empat hari. 
Di kalangan 11 yang maut pada hari pertama ialah tiga remaja lelaki berusia 15 hingga 17 tahun, 34 lagi termasuk dua remaja lelaki berusia 14 dan 16 tahun dan seorang budak perempuan berusia sembilan tahun, ditahan. – AFP

No comments: