Pages

Wednesday, June 13, 2012

Darurat diisytihar di Rakhine


Lelaki-lelaki Rohingya berusaha memadamkan kebakaran di rumah mereka selepas satu pertempuran tercetus antara etnik Buddha Rakhine dan Islam Rohingya di Sittwe, kelmarin. - REUTERS
YANGON 11 Jun - Tentera Myanmar hari ini menawan kawasan penting iaitu ibu negeri Rakhine, Sittwe dan beberapa bandar lain selepas keganasan agama tercetus di bahagian pantai barat negara ini dan menyebabkan sekurang-kurangnya lapan orang maut.
Presiden Thein Sein semalam mengisytiharkan perintah darurat di negeri yang bersempadan dengan Bangladesh itu.
Menurut beliau, perintah darurat perlu bagi menamatkan keganasan kerana situasi mungkin bertambah buruk atau merebak ke kawasan lain jika pembunuhan antara satu sama lain atas dasar perbezaan agama, kebencian, keinginan membalas dendam dan anarki dibiarkan.
Penganut Islam dan Buddha di negeri Rakhine saling menyerang antara satu sama lain sejak 3 Jun lalu selepas insiden perusuh Buddha membunuh 10 penganut Islam di selatan negeri itu.
Keganasan yang merebak ke bandar-bandar lain menyebabkan kerajaan Myanmar pada mulanya menguatkuasakan perintah berkurung dan mengisytiharkan darurat di seluruh Rakhine semalam.
Namun perintah darurat itu dilaporkan masih gagal menghentikan keganasan yang berlaku, menurut satu sumber di Sittwe, kira-kira 500 kilometer ke timur laut Yangon.
"Semalam, penganut Islam dilaporkan membakar rumah-rumah di perkampungan Byan Phyu, San Pya dan Nar Zi serta menetak penganut Buddha," kata seorang penduduk Sittwe, Zan Mya Wai melalui telefon.
Hari ini, empat kepala ditemui di perkampungan Nar Zi, pekan kecil di Sittwe, menurut pegawai Sittwe yang enggan dikenali.
Sementara itu, kira-kira 100 etnik Rohingya berhimpun di luar bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Bangkok hari ini bagi merayu Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon mengambil tindakan untuk mengelak 'pembunuhan kaum' berlaku.
"Jika PBB tidak campur tangan dalam insiden ini dalam tempoh beberapa hari, semua penganut Islam di Arakan (Rakhine) akan pupus dari dunia," kata Phil Robertson dari Human Rights Watch. - dpa

No comments: