Pages

Friday, June 15, 2012

PBB gesa selesai isu Rohingya

Seorang lelaki cuba menarik keluar satu mayat yang ditemui di dalam longkang di bandar Sittwe, Rakhine, semalam yang dipercayai menjadi mangsa keganasan agama antara etnik Rakhine beragama Buddha dengan Rohingya yang beragama Islam di Rakhine beberapa hari lalu. - Reuters
BANGKOK 14 Jun - Utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung hak asasi manusia di Myanmar, Tomas Ojea Quintana menggesa kerajaan Myanmar menangani 'masalah akar umbi' yang menyebabkan berlakunya diskriminasi terhadap etnik Rohingya beragama Islam.
Beliau berkata, ketegangan berpunca daripada diskriminasi etnik dan agama menimbulkan ancaman kepada kestabilan dan usaha Myanmar melaksanakan demokrasi.
''Saya menggesa semua pihak menghormati undang-undang dan tidak mengambil tindakan menjurus kepada keganasan,'' katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat semalam.
Diskriminasi terhadap etnik Rohingya menyebabkan mereka tiada tempat tinggal sejak berdekad-dekad lalu dan dilihat oleh PBB sebagai kaum minoriti paling ditindas di dunia.
PBB berkata, kira-kira 800,000 orang etnik Rohingya tinggal di sempadan Myanmar-Bangladesh dalam keadaan serba kekurangan.
Kedua-dua negara itu tidak mengiktiraf etnik tersebut sebagai rakyat mereka dan pihak berkuasa Bangladesh menolak kedatangan bot Rohingya yang melarikan diri daripada keganasan kaum dan agama pada minggu ini.
PBB telah memindahkan kebanyakan kakitangan asingnya dari pejabatnya di Rakhine.
Penasihat Khas Setiausaha Agung PBB mengenai Myanmar, Vijay Nambiar melawat negeri Rakhine hari ini untuk memantau situasi di sana.
Pegawai kerajaan berkata, sekurang-kurangnya 28 orang maut dan 53 orang lagi cedera di Sittwe sejak keganasan tercetus.
Jumlah tersebut tidak termasuk 10 penduduk Islam yang dibunuh pada 3 Jun lalu dalam serangan penduduk Rakhine beragama Buddha bagi membalas dendam ke atas kematian dan kes rogol seorang wanita Buddha yang didakwa dilakukan oleh penduduk Islam. - AFP

No comments: