Pages

Friday, June 15, 2012

Syria lakukan jenayah perang

DAMSYIK: Pertubuhan hak asasi manusia Amnesty International menuduh Syria melakukan jenayah kemanusiaan apabila bertindak menghukum penduduk kawasan tertentu yang menyokong pemberontak anti-Damsyik. 

Amnesty membuat kenyataan itu ketika pemerhati antarabangsa melaporkan lebih ramai penduduk maut akibat letupan bom kereta dan pertempuran.
Ketika menggesa masyarakat antarabangsa bertindak balas, ia mendakwa memiliki bukti baru menunjukkan mangsa termasuk kanak-kanak, diheret keluar rumah dan ditembak mati oleh askar dan dalam kes lain mayat mangsa dibakar.
“Bukti baru ini membimbangkan dan menunjukkan berlaku penindasan serius hak asasi serta perlunya masyarakat antarabangsa bertindak,” kata pegawai Amnesty, Donatella Rovera selepas penyiaran laporan 70 muka surat bertajuk Deadly Reprisals. 

Anggota pertubuhan berpejabat di London itu mewawancara penduduk di 23 bandar dan kampung seluruh Syria. 

“Ia membuat kesimpulan askar kerajaan dan militia pro-Damsyik bersalah mencabul hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa menyebabkan berlakunya jenayah perang,” kata Amnesty. 

Laporan itu disiarkan sehari selepas kerajaan ‘membersihkan’ kawasan Al-Haffe daripada pengganas. Al-Haffe terletak di barat laut Syria yang menjadi kubu kuat pemberontak Tentera Syria Merdeka ketika pemerhati melaporkan lebih 80 terbunuh sejak kelmarin. 
Bagaimanapun, Tentera Syria Merdeka mengundurkan anggotanya dari Al-Haffe sejak kelmarin kerana tidak mahu orang awam menjadi mangsa konflik. 

Media tempatan melaporkan, tentera kerajaan menawan Al-Haffe kelmarin, sehari selepas pemerhati PBB diserang ketika cuba sampai ke kawasan berkenaan. – AFP

No comments: