Pages

Thursday, June 7, 2012

Parti-parti politik Mesir terus bertelagah

Parti-parti politik Mesir terus bertelagah:

KAHERAH 6 Jun - Majlis pemerintah tentera Mesir memberikan tempoh 48 jam kepada parti-parti politik supaya membentuk panel untuk menggubal draf Perlembagaan baru terdiri daripada 100 anggota atau majlis itu sendiri akan merangkanya.
Kata dua itu diberikan selepas wakil 18 parti politik dan Ahli Parlimen bebas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata Mesir, Mohamed Hussein Tantawi, semalam.
Beberapa parti memulaukan pertemuan itu termasuk Ikhwan Muslimin yang merupakan kumpulan politik paling berpengaruh di negara ini.
Proses pembentukan panel berkenaan menjadi buntu apabila Parlimen yang didominasi pergerakan Islam cuba menempatkan anggota mereka sendiri dalam panel terbabit, menyebabkan anggota berhaluan sekular dan liberal menarik diri.
Pertelagahan itu menggambarkan perpecahan yang berlaku di Mesir, dua minggu sebelum pusingan kedua pilihan raya Presiden antara anggota Ikhwan Muslimin dan Perdana Menteri terakhir dibawah pentadbiran bekas Presiden, Hosni Mubarak berlangsung.
Ia juga mengutarakan peranan majlis pemerintah tentera dalam mentadbir Mesir pasca Mubarak dengan kritikan keras berhubung cara mereka mengendalikan tempoh peralihan itu.
Speaker Parlimen, Saad el-Katatni dari Ikhwan Muslimin, mengkritik tindakan majlis pemerintah tentera tersebut.
"Tiada siapa boleh menolak kuasa Parlimen dalam menggubal rang undang-undang dan meluluskan undang-undang,'' katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, penunjuk perasaan terus membanjiri Dataran Tahrir di sini, berikutan rasa tidak puas hati terhadap keputusan mahkamah ke atas bekas Presiden Hosni Mubarak dan pegawai-pegawainya.
Sabtu lalu, mahkamah memutuskan Mubarak dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, namun enam pegawai kanannya dibebaskan atas tuduhan pembunuhan penunjuk perasaan. - AGENSI

'via Blog this'

No comments: