Pages

Friday, June 29, 2012

Letupan bom di luar mahkamah Damsyik



BEBERAPA anggota bomba memadamkan kebakaran di lokasi letupan bom di luar bangunan Istana Kehakiman di Damsyik semalam.


DAMSYIK - Dua letupan bom menggegarkan kawasan di tempat letak kereta di luar bangunan Istana Kehakiman yang menempatkan mahkamah tertinggi Syria di sini semalam.
Seramai tiga orang cedera manakala sekurang-kurangnya 20 buah kereta rosak teruk akibat letupan tersebut.
Sejumlah anggota bomba sibuk memadamkan kebakaran manakala beberapa buah ambulans tiba di tempat kejadian.
Sebuah stesen televisyen Syria menganggap kejadian tersebut sebagai serangan pengganas.
Kawasan tempat letak kereta itu digunakan oleh para peguam dan hakim.
Satu sumber polis memberitahu agensi berita AFP, dua bom meletup dalam dua buah kereta milik hakim.
Menurutnya, bom ketiga berjaya dimatikan.
Sementara itu, seramai 69 orang terbunuh termasuk 38 orang awam semalam di Syria ekoran pertempuran antara tentera dengan para pemberontak.
Menurut kumpulan Pemantauan Untuk Hak Asasi Syria, seramai 16 orang terbunuh di Douma, utara Damsyik apabila askar-askar mengepung dan bertempur dengan para pemberontak.
Menurut kumpulan itu, askar-askar yang dibantu helikopter menyerang beberapa buah kawasan di Deir Ezzor, timur Damsyik.
Lebih 15,804 orang terbunuh sejak kebangkitan rakyat menentang pemerintahan Presiden Bashar Al-Assad bermula sejak 16 bulan lalu.
Kelmarin, sekumpulan pemberontak menyerang sebuah stesen televisyen di sini.
- Agensi

No comments: