Pages

Thursday, June 21, 2012

Hosni Mubarak nazak

BEKAS Presiden Mesir Honi Mubarak ditolak di atas pengusung beroda semasa tiba di sebuah mahkamah di Kaherah pada 28 Januari lalu.



KAHERAH - Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak (gambar kecil) berada dalam keadaan koma dan terpaksa bergantung kepada mesin sokongan hayat di sebuah hospital di sini selepas diserang strok di penjara, kata sumber perubatan dan ketenteraan yang menafikan beliau sudah meninggal dunia.
Keadaan kesihatan bekas pemimpin tersebut menjadi tidak menentu selepas situasi di Mesir semakin tegang apabila kedua-dua calon pilihan raya Presiden, Mohammed Mursi dan Ahmed Shafiq mendakwa memperoleh kemenangan manakala pemerintah tentera masih belum melepaskan kuasa mereka.
"Mubarak belum mati. Dia dalam keadaan koma dan doktor masih cuba untuk menyelamatkannya," menurut sumber berkenaan.
Sebelum ini, agensi berita tempatan, MENA melaporkan bekas pemimpin berusia 84 tahun itu disahkan mati selepas mengalami strok di penjara.
"Hosni Mubarak sudah meninggal dunia," kata agensi berita rasmi itu,
"Laporan perubatan memberitahu MENA bahawa jantungnya telah berhenti berdenyut dan tidak memberi tindak balas apabila alat sokongan hayat digunakan," tambah agensi berkenaan.
Menurut sumber pengawal keselamatan, isteri Mubarak, Suzanne dilaporkan melawat suaminya di hospital dan laporan televisyen berkata, kenyataan rasmi mengenai tahap kesihatan bekas Presiden itu akan dimaklumkan kelak tanpa menyatakan maklumat lanjut.
Mubarak sebelum ini dibawa ke sebuah penjara di sini selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana gagal menghentikan pembunuhan sejumlah penunjuk perasaan semasa rakyat Mesir bangkit menentang pemerintahannya pada tahun lalu.
Keadaan kesihatan Mubarak dilaporkan semakin teruk apabila doktor terpaksa menggunakan mesin defibrilator sebanyak dua kali pada awal bulan lalu. Dia juga dilaporkan mengalami kemurungan dan tekanan darah tinggi sehingga memerlukan bantuan pernafasan.
Ahli keluarga Mubarak termasuk dua anak lelakinya, Gamal dan Alaa yang turut dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan rasuah memohon supaya Mubarak dipindahkan ke hospital.
Selain laporan tahap kesihatan Mubarak yang semakin merosot, timbul pula ketegangan antara Mursi dan Shafiq yang masing-masing mengakui telah memenangi pilihan raya berkenaan.
Pergerakan Ikhwanul Muslimin yang merupakan kumpulan Islam terbesar dan paling berpengaruh di Mesir tetap bertegas bahawa Mursi adalah pemenang pilihan raya Presiden itu.
Pesaing Mursi, bekas Perdana Menteri terakhir Mesir di bawah pemerintahan Mubarak, Ahmed Shafiq juga mengisytiharkan kemenangannya.
Pengisytiharkan kemenangan oleh kedua-dua calon itu telah melanggar peraturan majlis pemerintah ketenteraan yang bertanggungjawab mengisytiharkan keputusan rasmi pilihan raya tersebut.
Kelmarin, Ikwanul Muslimin mengadakan demontrasi di Dataran Tahrir yang telah disertai lebih 15,000 penunjuk perasaan. - AFP

No comments: