Pages

Thursday, May 17, 2012

Rangka manusia ditemui dipercayai milik bekas ustazah



BACHOK 16 Mei - Misteri kehilangan seorang bekas ustazah yang menghidap penyakit skizofrenia, Norhayati Mat Ripin, sejak 18 April lalu terjawab dengan penemuan rangka dan tulang manusia yang dipercayai miliknya di kawasan sawah padi di Kampung Cherang Hangus, dekat sini tengah hari ini.
Rangka dan tulang manusia itu ditemui seorang pemandu jentera tuai padi yang baru hendak memulakan kerja kira-kira pukul 12 tengah hari.
Ibu mangsa, Ramlah Mohd. Nor, 61, berkata, pemandu jentera itu kemudian memaklumkan penemuan tersebut sebelum dia bergegas ke lokasi.
Ramlah berkata, dia yakin rangka itu milik Norhayati, 39, berdasarkan pakaian yang ditemui di sisinya.
Beliau berkata, kehilangan Norhayati sudah genap sebulan dan anggota keluarga sudah melakukan pelbagai ikhtiar untuk mengesannya tetapi gagal.
"Kami hampir putus harap kerana telah mencarinya di merata tempat termasuk menggunakan khidmat bomoh. Rupa-rupanya arwah hanya beberapa meter dari rumah," katanya dengan linangan air mata ketika ditemui di rumahnya di sini.
Ramlah berkata, mereka reda dengan takdir bahawa Norhayati akan 'pergi' sedemikian rupa.
"Makcik reda dengan kejadian yang menimpanya dan tidak tahu kenapa Allahyarham boleh meninggal dunia dalam keadaan sedemikian kerana setahu makcik, dia tidak pernah ke sawah berkenaan sebelum ini," katanya.
Menurut Ramlah, anak lelakinya, Mohd. Ridhuan, 39, turut yakin setelah melihat pakaian serta selipar yang ditemui di sisi rangka itu.
"Makcik tidak mengesyaki apa-apa perbuatan khianat kerana tidak nampak apa yang berlaku. Kita tidak boleh menuduh sebarangan tanpa bukti.
"Sudah takdir. Bagaimanapun, arwah sebenarnya tidak pernah menghidap penyakit yang membolehkan dia pengsan sendirian dan sebagainya," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Supritendan Ab. Rahim Che Ghani mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kes tersebut.

No comments: