Pages

Saturday, May 5, 2012

Perangkap tikus punca penduduk terkorban


SEORANG penduduk menunjukkan buluh yang digunakan petani untuk mengalirkan arus elektrik pada perangkap tikus di sawah padi di Semarang, Jawa Tengah. - AGENSI
UNGARAN - Perangkap tikus yang dipasang petani di Kampung Ngarapah, Bayunbiru, daerah Semarang, Jawa Tengah bukan sahaja membunuh haiwan perosak itu, malah ia turut mengorbankan beberapa penduduk kampung.
Perangkap tikus itu diperbuat daripada dawai elektrik dan dipasang pada 2007.
Ketua kampung, Wagiyati berkata, larangan untuk tidak mendekati perangkap tikus berarus elektrik itu sudah dimaklumkan kepada semua penduduk, namun masih ada yang enggan mematuhinya.
"Pada bulan lalu, seorang petani maut akibat terkena renjatan elektrik perangkap tersebut.
"Kejadian ini menjadikan jumlah keseluruhan korban perangkap tikus meningkat kepada empat orang," katanya kepada Kompas.com.
Sehubungan itu, Ketua Polis Bayunbiru, Nengah Witia berkata, polis akan bekerjasama dengan Syarikat Elektrik Negara untuk memastikan tiada lagi korban jiwa akibat terkena renjatan elektrik yang dipasang pada perangkap tersebut.
Kawasan Bayunbiru terkenal sebagai pengeluar beras utama untuk Jawa Tengah dan perangkap tikus itu dipasang bagi mengawal penularan hama tikus yang boleh merosakkan tanaman padi. - AGENSI

No comments: