Pages

Thursday, May 31, 2012

41 gempa bumi susulan gegar Itali


MIRANDOLA, Itali 30 Mei - Pasukan penyelamat menemui dua mayat pekerja di sebuah kilang yang runtuh akibat gempa bumi yang melanda timur laut Itali semalam, sekali gus menyebabkan angka korban meningkat kepada 17 orang hari ini, manakala 350 lagi cedera.
Sementara itu, seorang wanita yang masih hidup berjaya ditarik keluar daripada runtuhan bangunan pangsapurinya di sini, selepas 12 jam terperangkap.
Wanita berusia 65 tahun itu ditarik keluar malam tadi selepas pasukan bomba mendengar jeritannya.
"Dia terselamat selepas serpihan perabot menghalang runtuhan konkrit daripada mengenainya.
"Bangunan pangsapuri itu sebenarnya telah rosak dalam kejadian gempa bumi pada 20 Mei lalu, tetapi wanita itu kembali ke kediamannya semalam untuk mengambil pakaian ketika gempa bumi berlaku," kata anggota bomba kepada Sky TG24.
Sebanyak 41 gegaran susulan turut melanda timur laut Itali sepanjang malam tadi ketika beribu-ribu mangsa yang terselamat bermalam di dalam khemah-khemah selepas gempa bumi, semalam.
Penduduk di seluruh bandar di bahagian utara dan tengah Itali, termasuk Pisa dan Venice turut bergegas keluar ke jalan raya dalam keadaan panik ketika gempa melanda.
Beberapa jam selepas itu, penduduk yang ketakutan sekali lagi digegarkan dengan gempa susulan selama lima minit yang berukuran antara 5.1 hingga 5.3 pada skala Richter, sekali gus mencetuskan keadaan panik dan menyebabkan bangunan yang tidak kukuh runtuh.
Pasukan penyelamat hari ini masih mencari seorang lagi mangsa yang dilaporkan hilang. - AFP

No comments: