Pages

Thursday, May 31, 2012

4 maut nahas kereta, lori


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mangsa kemalangan maut melibatkan sebuah Perodua Viva dan lori tangki di Bekenu, Miri, Sarawak, semalam. - UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN
MIRI 29 Mei - Empat termasuk seorang kanak-kanak berusia 9 tahun maut apabila kereta jenis Perodua Viva yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori tangki di Kilometer 4, Pinggiran Pantai Kampung Agus, Bekenu dekat sini petang ini.
Dalam kejadian pukul 1 petang itu, tiga daripada mangsa maut di tempat kejadian manakala kanak-kanak tersebut, Mohamad Ikmal Alis meninggal dunia ketika dibawa ke sebuah klinik kesihatan berdekatan.
Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian ialah pemandu, Sarbini Senen, 25; adiknya, Mohamad Syafiq, 17, dan seorang rakan mereka, Nazri Sanawi, 18.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mun Kok Keong berkata, kenderaan yang dinaiki mangsa datang dari arah Miri menghala ke Bintulu.
Beliau berkata, kereta mangsa dipercayai gagal dikawal dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori tangki berkenaan.
"Kemalangan menyebabkan kereta tersebut remuk teruk dan kesemua mangsa tersepit dalam kenderaan itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Kok Keong memberitahu, sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan kesemua mangsa.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments: