Pages

Friday, April 27, 2012

4 pilihan utama jadi Presiden Mesir

Berita Harian Online | 4 pilihan utama jadi Presiden Mesir:

pix_gal0
Mohammed Morsi, Amr Moussa, Ahmed Shafiq, Abdel-Moneim Abolfotoh bersaing 

KAHERAH: Pertarungan jawatan presiden Mesir dalam pilihan raya bulan depan semakin rancak selepas satu panel ulama menyatakan sokongan kepada calon Ikhwanul Muslimin, Mohammed Morsi bagi jawatan presiden dalam pilihan raya lewat bulan depan.
Morsi dilihat akan ditentang hebat bekas pemimpin Liga Arab, Amr Moussa, Perdana Menteri terakhir era Hosni Mubarak, Ahmed Shafiq dan bekas anggota Ikhwanul Muslimin, Abdel-Moneim Abolfotoh meskipun ada 9 lagi calon lain yang bertanding.
Sokongan buat Morsi datang daripada Suruhanjaya Perundangan bagi Hak dan Pembaharuan, panel ulama daripada pergerakan Salafi dan parti Islam baru, tetapi turut mengandungi anggota Ikhwanul Muslimin. Keputusan diumumkan pada sidang akhbar di Kaherah. 

Kehadiran dua tokoh kuat Islam meningkatkan persaingan antara penyokong calon sekular dan agama. Salah seorangnya ialah bekas ketua Liga Arab, Amr Moussa, yang popular di kalangan rakyat yang bimbang dengan pengaruh Islam. 

Sementara itu, suruhanjaya pilihan raya Mesir membuat kejutan apabila memasukkan semula seorang lagi calon sekular iaitu bekas Perdana Menteri ketika pemerintahan Hosni Mubarak, Ahmed Shafiq. 

Shafiq popular di kalangan penyokong Mubarak dan juga rakyat Mesir yang bimbang dengan kebangkitan Islam. Beliau dijangka memberi saingan hebat kepada Moussa. 
Shafiq disingkirkan Selasa lalu selepas Parlimen yang dikuasai parti Islam meluluskan undang-undang melarang bekas pegawai kanan rejim Mubarak daripada bertanding. 

Tetapi, Shafiq kemudian mengemukakan rayuan, mencabar Perlembagaan undang-undang yang melarang penyertaannya.

Shafiq memberi hujah bahawa undang-undang itu diluluskan selepas beliau memohon untuk bertanding, lapor agensi berita Mesir. 

Suruhanjaya berkenaan merujuk undang-undang itu kepada Mahkamah Perlembagaan, dan kemudian memasukkan semula namanya dalam senarai calon. 

Persaingan sudah menyaksikan pelbagai persoalan timbul selepas ada calon tiba-tiba memasuki atau keluar daripada persaingan, kebanyakannya menerusi keputusan suruhanjaya berkenaan. 

Ia sudah membatalkan 10 calon atas dasar teknikal, termasuk dua tokoh Islam dan bekas ketua perisik Mubarak, Omar Suleiman. 

Beberapa tinjauan pendapat meletakkan Moussa mendahului persaingan lewat Mac lalu diikuti Morsi dan Abolfotoh. 

Februari lalu, Shafiq berkata, beliau bertanding kerana ada pengalaman untuk mengekalkan hubungan baik dengan jeneral selain memastikan peralihan lebih lancar kepada pemerintahan awam dan menyatukan semua pihak di Mesir. – AP/Reuters

No comments: